YADIM terus komited bantu mereka yang memerlukan

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Seramai 500 orang penerima terdiri daripada golongan yang memerlukan diraikan dalam Program Free Open Market: Souq @ YADIM sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Kelantan yang telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa baru-baru ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) ini membabitkan penyampaian sumbangan makanan keperluan yang berbentuk ayam, tepung, gula, sayuran dan juga barangan dapur kepada penerima terpilih selain sumbangan beras yang turut diberikan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

“Selain daripada barangan keperluan yang disalurkan secara terus, kita juga bekerjasama dengan para penghantar makanan untuk menyampaikan barangan keperluan kepada pondok, rumah anak yatim dan pusat pengajian, pada masa yang sama ia merupakan satu inisiatif yang cukup baik dalam membantu komuniti setempat mencari rezeki,

“Syabas kepada pihak YADIM yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan pelbagai program berbentuk kebajikan, dan diharapkan inisiatif serta usaha dakwah sebegini dapat diteruskan dan disemarakkan lagi, seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dalam ekonomi tetapi juga maju dalam sahsiahnya,” katanya.

Sementara itu, sebagai salah satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YADIM sentiasa komited menyantuni semua tanpa mengira latar belakang disamping menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Pada majlis yang sama seramai 20 orang penghantar makanan turut terlibat menghantar barangan keperluan terus ke 20 kediaman keluarga asnaf yang terpilih. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka YB Ahmad Fathan Mahmood, Ketua Pegawai Ekskeutif YADIM Tuan Kamarul Arief Tuan Soh serta Pengarah YADIM Kelantan, Mahadi Awang dan lain-lain. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -