Cakna terhadap kesihatan mental masing-masing

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada kenyataan media oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada bulan lepas yang memberi amaran terhadap krisis kesihatan mental global yang tengah melanda pada waktu ini. Beliau berkata hampir satu bilion penduduk dunia, termasuk berjuta kanak-kanak dan golongan muda dikesan mengalami gangguan kesihatan mental dan kebanyakan mereka tidak mempunyai akses kepada rawatan.

Statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pula mencatatkan seramai 424,000 kanak-kanak di negara ini dianggarkan bergelut dengan masalah kesihatan mental. Manakala, sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.

Menurut artikel yang ditulis oleh Jamari Mohtar dan Tam Mei Si, kajian yang diterbitkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental dan penyakit kronik yang lebih tinggi. Fenomena sama juga didapati dalam data kesihatan mental dalam kajian oleh Ketidaksamaan Sosial dan Kesihatan Malaysia. Golongan berpendapatan paling rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental tertinggi dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. 

Situasi ini sangat membimbangkan kerana mereka yang mengalami gangguan kesihatan mental berdepan risiko penderaan fizikal dan emosi, penafian pendidikan dan pekerjaan, serta pelanggaran hak asasi manusia yang lain. Walaupun kita sudah memasuki fasa endemik, masih ramai lagi individu yang masih terkesan daripada gangguan mental akibat ketidakstabilan ekonomi masih lagi berterusan sejak beberapa tahun lepas.

Dari segi Maqasid al-Syariah, kesihatan mental ini merupakan keperluan asas (dharuriyyat) iaitu hifz al-‘aql (penjagaan akal) yang mesti dipelihara dengan sebaiknya. Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan fizikal yang merupakan satu nikmat daripada Allah S.W.T. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

- Advertisement -

“Sesiapa di antara kamu yang bangkit pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badan dan aman pada dirinya, serta memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dia diberi segala nikmat dunia.” 

(Hadis Riwayat al-Tirmidhi)

Oleh itu, saya menggesa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meneruskan usaha dalam memantau dan mengambil tindakan proaktif mencegah dari gangguan mental dari terus merebak di kalangan rakyat. 

Di samping itu, saya menyarankan para ibu bapa sentiasa memeriksa perkembangan kesihatan mental anak-anak dari masa ke masa agar proses pembesaran dan pembelajaran mereka tidak terbantut. Kita berdoa kepada Allah Taala agar seluruh ahli keluarga kita terus terpelihara dari segala jenis gangguan kesihatan yang boleh mengancam keharmonian kehidupan orang sekeliling kita.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 25/7/2022

- Advertisement -