Graduan Darul Quran JAKIM perlu jadi jurubicara Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meraikan 659 orang graduan daripada semua program pengajian yang ditawarkan dalam Majlis Istiadat Konvokesyennya ke-30 yang berlangsung hari ini.

Mereka terdiri daripada 44 orang penerima Sijil Tamat Pengajian daripada Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian Secara Kerjasama Dengan USIM, 498 graduan daripada Program Diploma Tahfiz al-Quran & al-Qiraat, 97 graduan daripada Program Pensijilan Tahfiz al-Quran bagi kolaborasi JAKIM-IIUM (International Islamic University Malaysia), JAKIM-UNITEN (Universiti Tenaga Nasional), JAKIM-UoC (University of Cyberjaya), JAKIM-UTeM (Universiti Teknikal Malaysia Melaka), JAKIM-PSA (Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) dan JAKIM-MSU (Management & Science University), seorang graduan Program Sijil Asas Tahfiz JAKIM-PSAS (Politeknik Sultan Azlan Shah), empat graduan Program Sijil Asas Tahfiz Darul Quran dan 15 orang perantis Program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Bidang Pengurusan Masjid.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang bergraduasi dalam konvokesyen itu.

- Advertisement -

Katanya, penganugerahan kepada para graduan hari ini adalah selaras dengan syiar Islam kerana agama Islam meletakkan orang yang berilmu pada satu tahap yang tinggi.

Menurutnya, ilmu juga menjadi salah satu asas utama yang membezakan keupayaan insan di antara satu sama lain.

Tambahnya, ilmu akan menjadi bekalan hidup bagi para graduan untuk membina kecemerlangan seterusnya menabur bakti kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

Beliau berkata, peranan dan kepentingan penglibatan graduan Darul Quran dalam isu-isu kemasyarakatan amatlah mustahak khususnya menjadi jurubicara Islam.

“Tentunya peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini dalam negara berkaitan penghinaan kepada agama Islam amat mendukacitakan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, selain penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti PDRM, kerja-kerja dakwah dan pemulihan akidah perlu dilaksanakan di setiap lapisan masyarakat.

Justeru, beliau menyeru para graduan Darul Quran untuk turut aktif memberikan penerangan berkaitan Islam dan Al-Quran di lapangan media sosial hari ini seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tik-Tok dan sebagainya.

“Sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran yang ke-30 ini, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan serta para ibu bapa di atas kejayaan para graduan.

“Tidak lupa setinggi-tinggi penghargaan kepada para pensyarah dan pengurusan Darul Quran khususnya yang telah mencurahkan ilmu kepada pelajar Darul Quran pada tahun 1966 sehingga hari ini, seramai 10,671 orang graduan huffaz telah berjaya dilahirkan,” katanya lagi.

Beliau berharap semoga kampus barakah Darul Quran JAKIM terus maju jaya melahirkan para huffaz yang berbakti kepada agama, negara dan ummah. – HARAKAHDAILY 23/7/2022

- Advertisement -