KeTSA ketuai siasatan banjir di Baling

Takiyuddin (kiri) pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 18 Julai 2022.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mengetuai agensi lain bagi menjalankan siasatan terperinci terhadap kejadian banjir dan kepala air di Baling, Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memberi jaminan akan mengumumkan punca kejadian secepat mungkin setelah hasil siasatan diperoleh.

- Advertisement -

Menurutnya, tanggungjawab itu digalas KeTSA di atas arahan Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana melihat KeTSA sebagai sebuah kementerian yang mempunyai jabatan berkaitan dengan kejadian berkenaan.

“Saya baru terima arahan daripada JPM melalui Pejabat Ketua Setiusaha Negara (KSN) bahawa KeTSA diarahkan untuk mengetuai agensi bagi menjalankan siasatan isu banjir dan kepada air di Baling,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini

“Di bawah KeTSA ada banyak Jabatan yang berkaitan, seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Ia akan dipengerusikan KSN (Tan Sri Mohd Zuki Ali) sendiri tetapi KeTSA yang akan mengetuai agensi itu,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -