MKN seru rakyat sama-sama jaga negara

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) menjemput seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memberikan idea melalui objektif platform Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN’22) untuk merealisasikan aspirasi Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025, dalam menghasilkan pendekatan baharu bersama-sama sejajar dengan konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC).

Timbalan Pengarah Bahagian Gerak Saraf Perang Saraf MKN, Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata, PKN’22 yang bakal diadakan pada 19 Julai 2022  di Hotel Marriot Putrajaya bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri bertemakan Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama, adalah bagi memperkenalkan dasar lebih meluas yang menekankan keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama. 

- Advertisement -

Menurut beliau, persidangan itu kelak merupakan julung-julung kali diadakan sejak 51 tahun kewujudan MKN di Malaysia bertujuan bagi mengambil kira pandangan rakyat.

“Kerajaan ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia tidak kira latar belakang yang terdiri daripada semua kementerian kerajaan, syarikat swasta, ahli akademik, pemain industri, organisasi sektor keselamatan, pensyarah, dan golongan muda bagi menyertai sesi forum, perbincangan, serta membina networking untuk menyumbang idea bermatlamat menambah baik keselamatan negara.

“Dalam menguruskan keselamatan negara, semua pihak sewajarnya terlibat sama, dan menyahut seruan kerajaan bersesuaian dengan konsep keluarga Malaysia yang memupuk semangat kemasyarakatan selaras dengan konsep pengurusan keselamatan komuniti dalam kalangan penggubal dasar,” katanya ketika sesi taklimat mengenai perjalanan PKN’22 di Dewan Taklimat ICU, Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Muhammad Hafiz berucap pada sesi taklimat PKN’22 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 15 Julai 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, kerajaan ingin mencorak hala tuju isu dan cabaran pengurusan keselamatan negara semasa, baharu dan potensi cabaran khususnya selepas pandemik Covid-19 seperti ancaman-ancaman akan datang kepada negara.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beberapa orang menteri yang lain bakal menghadiri PKN’22.

Selain itu ujarnya, persidangan berkenaan akan turut dihadiri Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad; Pengarah Cawangan Khas, Dato’ Sri Zamri Yahya; Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Keselamatan, Tan Sri Lee Lam Thye; Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof. Dato’ Seri Dr Mustafa Ishak, serta beberapa tokoh terkemuka negara dan pensyarah. 

Menurutnya lagi, PKN’22 bakal berlangsung dari jam 8.45 pagi hingga 5 petang melibatkan 300 orang peserta melalui dua sesi plenari yang akan diadakan kelak.– HARAKAHDAILY 15/7/2022.

- Advertisement -