Pengerusi Assabiqun rakam ucapan takziah

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR:
Sidang Assabiqun Se-Malaysia, mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Haji Taher yang telah meninggal dunia petang Isnin lalu akibat kemalangan jalan raya.

Pengerusinya, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed, berkata Allahyarham adalah Pengerusi Sidang Assabiqun Kuantan yang sangat istiqomah dalam perjuangan Islam.

“Bagi pihak Sidang Assabiqun, saya ucap takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama ambia, syuhada dan solihin,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

- Advertisement -

Dr Mahfodz berkata, kepulangan Allahyarham ke rahmatullah adalah kehilangan bukan sahaja kepada Assabiqun Kuantan bahkan Se-Malaysia.

Allahyarham Haji Taher, 83, bersama anak perempuan, Norlelawati terlibat dengan kemalangan jalan raya di Keratong, Pahang.

Allahyarham bersama anak dan cucu dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Rembau, Negeri Sembilan. Kereta yang dinaiki Allahyarham telah berlanggar dengan sebuah lori treler.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah pada Isnin sementara anak perempuan meninggal dunia di tempat kejadian.

Allahyarham istiqamah dalam perjuangan PAS serta sentiasa bersedia dan berkorban untuk perjuangan Islam.

Sidang Assabiqun mendoakan semoga roh Allahyarham bersama anak dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang-orang beriman dan pejuang Islam. – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -