Polis lancar SAR kesan pemuda hilang di dusun durian

- Advertisement -

KANGAR: Polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini bagi mengesan seorang lelaki yang dipercayai hilang sejak enam hari lepas ketika membantu rakannya membersihkan dusun durian di Kampung Perangin, Jalan Sungai Batu Pahat di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata siasatan awal polis mendapati mangsa Muhd Zulhelmi Abdul, 28, bersama rakannya Helmee Ramlee, 42, keluar membersihkan dusun durian kira-kira pukul 10 pagi pada Jumaat lepas (8 Julai).

- Advertisement -

“Rakannya yang juga pemilik dusun tersebut menyedari kehilangan Muhd Zulhelmi dan cuba mencarinya namun gagal, sebelum usaha mencari disambung keesokan harinya (9 Julai) dan masih tidak menemui apa-apa petunjuk,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata Helmee kemudian mengajak jirannya, Adul Dolameedin, 41, membantu mencari mangsa semalam, namun masih gagal menemui rakannya itu

Menurut Yusharifuddin polis menerima laporan mengenai kehilangan pemuda tersebut daripada abangnya, Mohamad Helmizan Abdul, 44, pada pukul 12.30 tengah malam semalam.

Katanya polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan 52 orang anggota dan pegawai telah melancarkan pencarian meliputi kawasan seluas tiga kilometer.

“Selain itu, kami turut meminta bantuan pihak berkuasa Thailand bagi kemungkinan mangsa tersesat ke kawasan hutan berhampiran yang bersempadan dengan negara itu,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa Mohamad Helmizan berkata beliau mengetahui tentang kehilangan adik bongsu daripada lima adik beradik itu semalam selepas diberitahu rakan mangsa.

“Kali terakhir saya menghubungi adik saya pada Isnin (4 Julai) lepas dan beliau memberitahu sedang mengambil upah membersihkan dusun durian serta membuat pondok milik rakannya. Saya cuba menghubunginya beberapa kali hari ini tetapi gagal,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -