Buat pemeriksaan darah jika berisiko dijangkiti HIV

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru masyarakat yang mempunyai risiko jangkitan HIV agar segera membuat pemeriksaan darah dan mendapat rawatan segera.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan program Kayuhan Berbasikal Amal Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar kawasan Kaki Bukit, semalam.

- Advertisement -

Baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf.

Sumbangan agihan zakat berupa wang tunai RM700, sekampit beras fidyah dan sekotak bahan makanan mentah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim menerangkan antara golongan yang berisiko tinggi adalah individu yang terlibat dengan seks sesama jenis, seks dengan berbilang pasangan dan penagih dadah yang berkongsi jarum.

“Berdasarkan statistik, punca utama jangkitan bagi negeri ini adalah 69 peratus adalah individu yang menjalani hubungan seks sesama jenis (homoseksual/biseksual), 25 peratus heteroseksual dan 6 peratus lagi melalui perkongsian jarum suntikan,” katanya.

Menurut beliau, jumlah kes HIV di Perlis adalah 4.49 bagi setiap 100,000 penduduk manakala kes Aids pula ialah 4.11 bagi setiap 100,000 penduduk.

Jelasnya lagi, 83 peratus individu sedang menjalani rawatan dengan diberikan ubat anti retroviral.

“Tiada kes jangkitan dari ibu positif HIV kepada anak iaitu terdapat lima kes ibu positif, satu telah lahir dan anaknya didapati negatif,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -