Kuasa politik rosak bila guna untuk kepentingan diri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesilapan yang berlaku dalam pemerintahan kerana wujud kepentingan politik mesti dipulihkan agar ia tidak mengundang kemurkaan Allah S.W.T sebaliknya wajib digunakan bagi manfaat agama.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah menuturkan mesej nasihat demikian ketika menyampaikan Kuliah Tafsir Surah al-Isra’ di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerosakan amanah kepimpinan yang Allah S.W.T kurniakan apabila ada segelintir daripada ahli politik menggunakan kuasa bukan untuk kepentingan agama sebagaimana tujuan politik dalam Islam.

“Tujuan politik dalam agama adalah untuk menegakkan agama dan mengurus dunia dengan agama. Kita hendaklah sama-sama memelihara agama. Kuasa politik perlu dimanfaatkan untuk kepentingan agama,” ujarnya.

Jelasnya, sebarang penyimpangan tujuan itu atau kejahatan, juga pelanggaran dan melampaui batas hukum, pasti akhirnya akan berdepan hukuman Allah S.W.T atau ditimpa pembalasan sejak di atas dunia lagi.

Pun begitu dalam menjelaskan keadilan Allah S.W.T dalam situasi seperti itu kata beliau, akan terlebih dahulu sebelum ditimpakan musibah, Dia menghantar Nabi dan Rasul untuk memberi peringatan agar berbuat kebaikan.

Pada zaman kini, adanya orang alim yang berperanan dalam menyambung tugas para Nabi dan Rasul iaitu menyuruh manusia untuk berbuat kebaikan (amar ma’ruf) dan melarang manusia daripada melakukan kejahatan (nahi mungkar). 

“(Tapi) Orang yang berpangkat tinggi, berkedudukan dan kaya disebut sebagai golongan al-Mala’ dalam al-Quran, golongan tersebut sentiasa menentang risalah malah mengkhianati para Nabi dan Rasul. 

“Apabila ia berlaku, Allah S.W.T menghancurkan kelompok tersebut dengan sehancur-hancurnya,” ujarnya menyenaraikan akibat yang menimpa kaum-kaum terdahulu seperti kaum Luth, ‘Ad, Thamud, pengikut Nabi Nuh A.S, Fir’aun dan pengikutnya serta pengikut Namrud. 

Malah kemuka beliau, bangsa-bangsa yang menolak kebenaran agama sama ada mereka beragama Islam atau bukan-Islam juga  dihancurkan oleh Allah S.W.T seperti Kerajaan Rom, Greek Purba, China dan India dahulu.

Terangnya, mereka itu mengalami kehancuran kerana tetap menolak agama walaupun pada ketika itu tiada Nabi mahupun Rasul di mana berleluasa melakukan zina, minum arak, homoseksual dan pelbagai kejahatan lain. 

Beliau memberi contoh bukit Petra di Jordan dan Bandar Pompeii di Rom yang antara binaan hebat suatu masa dahulu, tetapi dihancurkan Allah S.W.T di mana kisah mereka hanya diketahui hasil kajian arkeologi.

Begitu juga Kerajaan Umaiyah, Abbasiyah dan Turki Uthmaniyah menurutnya, walaupun merupakan empayar Islam yang hebat, namun akhirnya jatuh yang antara punca adalah akibat kemewahan hidup dan tidak mengamalkan agama. 

“Oleh itu, kita perlu berasa bimbang sekiranya masyarakat hidup sedemikian kerana dikhuatiri bala akan turun. Dakwah atau amar ma’ruf nahi mungkar adalah sangat penting dan kita seharusnya tidak membiarkan keburukan-keburukan terus berlaku,” nasihatnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan ini turut mengemukakan tragedi menimpa Bosnia sebagai iktibar apabila tidak hidup berlandaskan agama, sekali gus menyeru kembali mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan, rumahtangga, masyarakat dan negara.

“Mereka tidak solat, puasa, minum arak dan hidup seperti orang bukan-Islam. Ada satu perayaan yang disambut oleh mereka dengan cara orang kafir dan menu utama dihidangkan ialah kepala babi. Masjid pula tidak diimarahkan. 

“Peristiwa 13 Mei yang lalu barangkali merupakan salah satu cara Allah S.W.T ingin menghukum kita disebabkan oleh kehidupan kita yang tidak mengambil peduli akan agama,” ujarnya mengajak renungan.

Peranan ulamak bimbing kehidupan

Pada zaman kini yang tiada lagi Nabi dan Rasul, maka ulamak jelasnya, memainkan peranan dalam mengajak kepada jalan yang betul dan menjadi sumber masyarakat, oleh itu ulamak juga haruslah dihormati.

“Walaupun ulamak tidak maksum, tetapi ilmu yang dia miliki perlu kita hormati kecuali dia ada melakukan perkara-perkara berlanggar dengan syarak. Masalah kita pada hari ini ialah kita sendiri yang berasa lebih cerdik daripada orang alim. 

“Menulis atau memberikan komen di Facebook seolah-olah kita lebih alim daripada ulamak. Inilah perangai yang kurang beradab,” kesali beliau mengemuka fenomena akhir zaman di mana ramai yang hilang adab dengan Allah, Nabi, ulamak, ibu bapa dan juga masyarakat. 

Hurai beliau juga, sekiranya bersikap mencari kesenangan dunia sehingga melampaui batas hukum dan berperangai jahat sekalipun, Allah S.W.T tetap memberikan kesenangan sebagaimana dilihat kepada kehidupan orang-orang kafir.

Mereka itu katanya, hidup lebih mewah daripada orang Islam kerana Allah S.W.T memberikan kesenangan seperti itu di dunia tetapi akan disediakan azab api neraka Jahannam di akhirat kelak sebagai pembalasan-Nya.

“Jadi, sanggupkah kita mendapatkan kehidupan senang dengan melanggar agama seterusnya memperoleh azab di akhirat?” hentaknya yang juga ADUN Panchor mengajak berfikir.

Beliau memberi contoh realiti kehidupan di mana kerana terlalu mengejar kesenangan hingga ada menolak kaedah Islam dalam perniagaan, lalu menipu untuk cepat kaya, termasuk terlibat dalam jualan barang terlarang undang-undang.

Orang yang mencari akhirat atau redha Allah S.W.T kemukanya, ialah orang beriman dan rajin bekerja, bukan setakat beribadah di masjid sahaja, bersedekah, mengeluarkan zakat, membantu orang lain dalam kesusahan.

“Menolong orang bawahan, membela orang yang dizalimi dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Mereka akan memperoleh pahala serta selamat di dunia dan juga di akhirat. Oleh itu, buatlah sesuatu yang mengikut kehendak-Nya. 

“Begitu dengan ibadah, ia mestilah dilakukan dengan mengikut syariat dan tidak memandai-mandai,” ujarnya menuntun pencerahan ke arah kebaikan dan suntikan motivasi. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -