UMK naik taraf capaian internet di 3 kampus

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

BACHOK:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menaik taraf capaian internet di kampus Bachok, Kota dan Jeli bagi memberi kemudahan kepada pelajar.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Razli Che Razak berkata, Pusat Komputeran dan Informatik (CCI) membuat persediaan awal termasuk kajian terperinci bagi menambah baik perkhidmatan sedia ada.

Katanya secara umum UMK meningkatkan kelajuan internet (internet bandwidth) daripada 1.1Gbps kepada 6.4Gbps pada Oktober 2019 dengan kerjasama Telekom Malaysia.

- Advertisement -

“Kerja-kerja naik taraf itu mengambil kira pertambahan pelajar yang semakin meningkat dan kelajuan capaian internet sedia ada untuk tempoh tiga tahun,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya juga usaha itu turut disokong MyREN sebanyak 1Gbps yang diberikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Beliau berkata, KPT sedang merangka tambahan kapasiti MyREN bagi semua universiti awam di negara ini.

“Bagi tujuan itu agihan untuk UMK akan ditingkatkan daripada 1Gbps kepada 10Gbps. UMK juga merancang pembangunan capaian internet kepada Jawatankuasa Pemandu ICT KPT.

“Ia bertujuan menaik taraf infrastruktur rangkaian utama di Kampus Kota, Kampus Jeli dan UMK Bachok.

“Ini bagi menyokong inisiatif KPT dalam usaha meningkatkan MYREN melibatkan peralatan Core Switch, Multigig Access Switch, Transceiver dan Network Access Control (NAC),” ujarnya.

Dr Razli juga berkata, UMK mengambil pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah capaian internet tidak stabil dengan melaksanakan pemantauan audit kualiti capaian internet secara berkala.

Antaranya kata beliau permohonan menggantikan peralatan usang dalam RP4 RMK12 dan menambah kuantiti penerima isyarat access point (AP) di kawasan Blind Spot di asrama dan kampus.

Menurutnya penambahan kapasiti (kouta) MyREN oleh KPT dijangka diperoleh pada 2023 dan UMK sentiasa menguar-uarkan kepada pelajar untuk memohon skim pakej peranti siswa yang ditawarkan kementerian. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -