‘Tak akan Melayu hilang di dunia’?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bangsa Melayu menjadi tersohor hakikatnya adalah kerana berpegang dengan Islam hinggakan kedudukan kaum dan agama tersebut termaktub dalam takrifan Perlembagaan Malaysia. 

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, ramai yang salah memetik kata-kata masyhur diungkapkan oleh tokoh pahlawan Melayu zaman kesultanan Melaka, Laksamana Hang Tuah iaitu ‘Tak akan Melayu hilang di dunia’.

“Kerana barangkali tidak membaca sehingga habis. Kata-katanya bukan sekadar itu tetapi ada sambungan lagi selepasnya iaitu ‘Tak akan Melayu hilang di dunia selagi berpegang kepada agama’. 

“Ada yang memperjuangkan Melayu tetapi solat entah ke mana kerana atas dasar Melayu sahaja. Hakikatnya, Melayu sebenarnya ada kaitan rapat dengan Islam,” ujarnya pada Kuliah Tafsir Mingguan di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Pengkalan Chepa kelmarin dahulu.

Terangnya, dalam Perlembagaan Malaysia disebut takrif kepada Melayu ialah seorang yang beragama Islam dan secara lazimnya mengamalkan adat istiadat Melayu dan bercakap dalam Bahasa Melayu.

“Bukan disebabkan oleh keturunan. Inilah yang diperjuangkan oleh Profesor Burhanuddin Al-Helmi suatu ketika dahulu bahawa orang Melayu ialah orang yang berpegang teguh pada agama Islam dan Melayu bukan hanya di Semenanjung.

“Tetapi di seluruh Nusantara termasuk Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand selagimana beragama Islam. Dalam pantunnya juga ada disebut, ‘Kalau roboh Kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan.’ 

“Yang bermaksud jika Kota Melaka jatuh, akan dibina kekuatan di Jawa. Inilah konsep Melayu yang diperjuangkan iaitu Nasionalisme Melayu yang berasaskan agama Islam,” kupas beliau.

Menurutnya, Profesor Syed Naquib pernah menyebut bahawa Melayu menjadi hebat apabila menerima Islam di mana sebelum menerima Islam, Melayu tidak tersohor kerana tamadun tidak membangun. 

Tambahnya lagi, Syed Naquib pernah menyebut dalam kuliahnya, ‘Bangsa Melayu menemukan makna dirinya dengan Islam’ yang bermaksud orang Melayu mengenali diri adalah kerana Islam.

“Dengan Islam, orang Melayu menjadi ‘orang’ dan bangsa yang hebat, bahasa Melayu menjadi ‘lingua franca’ iaitu bahasa pertuturan di Nusantara, Acheh, Sumatera, Pasai dan Melaka. Inilah kehebatan kerajaan Melayu pada ketika itu. 

“Urusan perniagaan contoh jual beli melibatkan Bahasa Melayu. Tulisan yang digunakan dalam dokumen bertulis ialah tulisan Jawi contoh perjanjian dengan penjajah, surat menyurat dan geran tanah kerajaan Melayu seperti Kelantan. 

“Setelah dijajah, tulisan Jawi dihapuskan selama satu generasi dan ditukarkan kepada tulisan rumi. Sehinggakan surah Yasin pun ditulis dalam tulisan rumi. Ulamak mengeluarkan fatwa yang mengharamkan Al-Quran yang ditulis dalam tulisan rumi,” kesalnya.

Pun demikian kata Timbalan Menteri Besar Kelantan ini, akhirnya situasi tersebut diperbetulkan semula semasa pemerintahan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu menerusi pengenalan JQAF. 

“(Sukatan) JQAF (Jawi, Quran, Agama, Fardhu ‘Ain) telah diperkenalkan dan menghidupkan semula tulisan jawi. Mujurlah dihidupkan semula kerana satu generasi dahulu telah buta tulisan Jawi. Pada hari ini pun, bukan semua boleh menulis Jawi. 

“Jadi, harapan agar semua orang Islam boleh membaca dan menulis Jawi kerana tulisan Jawi ada kaitan dengan Al-Quran. Orang Melayu pada zaman dahulu mencipta huruf Jawi berdasarkan Al-Quran. Bangsa Arab Islam telah mencipta 3 bahasa iaitu Swahili di Afrika, Urdu di India dan Jawi di Tanah Melayu. 

“Bangsa Melayu terkenal dengan tamadun ilmu bukan bangunan. Mereka tidak bersungguh untuk membina bangunan. Bangunan pula dibina daripada kayu,” jelasnya.

Orang Melayu katanya, lebih membina ilmu atau akal sehingga muncul orang-orang hebat yang boleh bercakap mengenai perundangan dan perbincangan falsafah peringkat tinggi seperti pengajian Sifat 20.

Pengenalan Sifat 20 dalam ilmu akidah itu terangnya, untuk para ulamak ketika itu melawan pemikiran di Greek di mana Sifat 20 bukan satu-satunya cara untuk menyampaikan akidah tetapi ia adalah salah satu kaedah. 

“Masalah kita pada hari ini ialah disebabkan kita tidak belajar sejarah, kita menganggap bahawa Sifat 20 adalah wajib dan selain daripada itu tidak benar belaka,” ujarnya menegur polemik yang wujud dalam kalangan asatizah. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -