Anak muda hendak pilih siapa?

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh M FAQIH

BIARPUN
pembangunan ekonomi begitu penting demi kelangsungan hidup manusia, namun ia tenggelam apabila muncul isu politik. Jarang orang bercakap isu ekonomi di kedai kopi sehingga berjela-jela.

Kalau ada pun hanya sembang sepintas lalu. Ia tidak mendalam. Malah sukar untuk dibahaskan tanpa ada data atau statistik. Namun, bahas isu politik tidak perlukan data.

Isu politik lebih hangat kerana menyentuh masa hadapan negara. Siapa yang akan menentukan hala tuju negara. Atau parti mana yang akan mentadbir negara.

Maka berdasar kepada senario tersebut sudah tentu segmen politik menjadi lebih panas dan menarik perhatian ramai. Ini yang perlu diketahui anak-anak muda.

Undi mereka akan menentukan siapa yang layak dilantik sebagai perdana menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti. Adakah Ismail Sabri akan terus kekal di kerusi PM atau tokoh lain.

- Advertisement -

Inilah yang menyebabkan isu politik sentiasa hangat. Bukan sahaja di kedai kopi, café atau lobi hotel, sebaliknya di mana-mana sahaja.

Tetapi harus ingat pentaksub politik pula boleh membawa keruntuhan institusi masyarakat. Ada juga kes suami isteri bercerai kerana faktor perbezaan politik. Semuanya itu berlaku kerana terlalu taksub.

Namun, bagi mereka yang sentiasa berfikiran rasional, ia bukan perkara pelik. Sekadar berhujah untuk menegakkan pendirian masing-masing.

Mereka yang matang sekadar berhujah dan bukan hendak mencari siapa pemenang. Berbeza bagi pentaksub, mereka mahu menang dan tidak menerima hakikat kekalahan. Ini yang dikatakan berpolitik separuh matang.

Biarpun apa pun kita cuba lihat apa hujah mengatakan isu politik lebih mendapat tempat. Ia boleh dihujahkan ekonomi mampu berkembang kerana kewibawaan pemimpin negara.

Ini bermakna kerangka atau hala tuju ekonomi negara akan ditentukan saf pimpinan politik. Pemimpin yang menguasai kerajaan akan menentukan corak atau sistem ekonomi negara.

Felda

Contohnya Tun Abdul Razak Hussein merangka polisi memperkasakan ekonomi orang Melayu dengan membuka tanah-tanah rancangan. Bermula dari situ lahirkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) untuk pembangunan tanah dan penempatan semula.

Objektifnya bagi membasmikan kemiskinan melalui penanaman kelapa sawit dan getah. Felda juga melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

Pada tahun 1990 terdapat seramai 112,635 peneroka yang ditempatkan di 317 rancangan di seluruh negara.

Tanah rancangan pertama dibangunkan Tun Razak iaitu Felda Lurah Bilut pada 1958. Felda Lurah Bilut terletak di kawasan strategik iaitu sejauh 16 kilometer dari bandar Bentong.

Begitu juga di Kelantan, kerajaan negeri yang ditadbir PAS turut mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN) di bawah Enakmen Undang-Undang Kemajuan Tanah 1959.

LKTN ditadbir sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 18 ahli. Pada 1960 dipengerusikan anggota Exco kerajaan negeri Mohd Noor Yusof yang juga Adun Machang Selatan.

LTKN memberi penekanan kepada penggunaan tenaga peneroka secara maksimum dengan perbelanjaan minimum. Pemohon yang berminat menyertai LKTN diberi tanah seluas 6 ekar untuk ditanam getah.

Selain itu peneroka juga diberi 2 ekar lot kebun dan suku ekar tapak rumah. Tanah LKTN yang dibuka pada 1960 iaitu di Ayer Belaga Tanah Merah melibatkan kawasan seluas 400 ekar dengan menempatkan seramai 40 peserta.

Jelaslah di sini dengan ada kemahuan politik maka rancangan kemajuan tanah diwujudkan. Ia bermatlamat membantu penduduk memiliki kebun sendiri bagi menjana pendapatan keluarga.

Felda dan LKTN (KESEDAR) sekarang berjaya melahirkan penduduk yang boleh digelar jutawan baru.

Segalanya itu berpangkal daripada undi setiap pemilih. Begitu juga undi anak muda membolehkan kerajaan yang dibentuk merencanakan pelbagai program bagi menjana ekonomi rakyat.

Daripada kuasa undi anak muda dapat melahirkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan yang mampu membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Inilah tanggungjawab dan peranan kerajaan. Undi-18 kena ingat di tangan mereka juga boleh lahir pemimpin korupsi kerana silap pilih. Sekiranya dibiarkan boleh menggadaikan maruah negara.

Isu membabitkan bekas pemimpin utama negara boleh menjadi contoh. Undi anak muda lah yang akan menentukan pemimpin masa depan negara. Jadi mereka yang hendak pilih siapa? – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -