‘Kuasa beli dan pasaran’: Tanda rakyat Kelantan tidak miskin

- Advertisement -

SETELAH pasar raya terbesar di Kelantan, AEON Mall Kota Bharu dirasmikan pada 28 April 2016 dahulu, terbaharu Mydin yang terbesar di Malaysia pula dibuka pada 10 Mac 2022 di Bandar Baru Tunjong. 

Ketika saya mula sampai di kawasan parkir kereta Mydin Mall Bandar Baru Tunjong yang penuh tanpa ruang kosong Jumaat lalu, saya bertanya pada kawan menjemput dari airport:

“Bila buka Mall baru ni, terjejas tak AEON Mall di KB tu?” 

“Tidak, AEON masih ramai orang, walaupun Mydin Mall ni penuh orang, nak parking pun tak ada. Segmen pasaran tak sama, jadi tetap ramai orang Kelantan mari ke dua-dua Mall ni,” beliau membalas.

Memahami pernyataan tersebut, dalam satu majlis Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap di program bersama Urusetia Belia Kelantan di Kota Bharu, pada Jumaat malam ada menyebut:

“Sebab itu pasar raya Mydin yang terbesar di Malaysia didirikan di Kota Bharu. Kalau tak ada kuasa beli siapa nak datang buka pasar raya terbesar?” 

Persoalan ini ditimbulkan oleh Menteri Besar Kedah sebagai memberi penjelasan mengenai kuasa beli rakyat Kelantan yang tinggi. 

“Kuasa beli di Kelantan tinggi walaupun orang kata Negeri Kelantan miskin, tapi saya tahu rakyat Kelantan kaya,” jelas Menteri Besar Kedah lagi.

Kelantan, walaupun ianya negeri yang dilihat miskin daripada perspektif indikator Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), namun tak bermakna rakyatnya miskin.

Kuasa beli rakyat di Kelantan adalah tinggi sekali gus memberi petanda penduduk di negeri terbabit sebenarnya terdiri daripada golongan kaya.

Kekayaan dan ketersediaan daging tempatan

Kaya bukan hanya boleh dilihat daripada pemilikan imej bersifat moden. Kaya juga boleh dilihat daripada sudut ketersediaan sumber makanan berkualiti tempatan. 

Saya teringat beberapa minggu lalu sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu melalui Lebuhraya Timur-Barat ketika kereta mendaki naik merentasi Banjaran Titiwangsa, kelihatan beberapa buah lori panjang mengangkut lembu-lembu ke negeri Utara Semenanjung. 

Saya percaya, lembu-lembu tersebut adalah permintaan untuk persediaan Hari Raya Korban yang bakal menjelang. Saya teringat kata-kata seorang kawan anak Kelantan yang menetap di Pulau Pinang menyatakan bahawa orang tua beliau di kampung hanya akan makan daging lembu segar tempatan. 

Alangkah kayanya rakyat Kelantan daripada sudut ini. Kami di Pulau Pinang, walaupun kami ada duit, tapi bekalan daging segar belum tentu sentiasa ada. Kalau makan daging import itu biasa. 

Sebab itu kalau pesan tomyam daging di kedai makan orang Pattani pasti dagingnya sedikit keras. Tetap kena makan, itu sahaja yang ada dan mudah tersedia. 

Saya pernah terbaca laporan portal berita menyatakan bahawa ‘Rakyat Kelantan juara makan daging lembu tempatan’.

Laporan portal berita itu menjelaskan hal ini berdasarkan data pada tahun 2019 bahawa hampir 1,000 ekor lembu disembelih setiap bulan di Kelantan atau tidak kurang 30 ekor sehari.

Angka terus meningkat pada Mei dan Ogos yang masing-masing merupakan bulan perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Portal berita tersebut memetik maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia yang melaporkan bahawa 13,122 ekor lembu disembelih pada Hari Raya Puasa dan 2,122 ekor pada hari Raya Korban.

Di samping itu laporan tersebut membandingkan dengan negeri-negeri lain hanya merekodkan antara 10 hingga 26 ekor lembu ‘ditumbangkan’ sehari. 

Laporan itu juga menjelaskan bahawa Kelantan mempunyai 85,375 ekor lembu atau 15.6 peratus daripada penternakan lembu pedaging negara bagi tahun 2019.

Dengan rekod itu, Kelantan menjadi negeri pengeluar lembu pedaging kedua tertinggi selepas Pahang yang mencatatkan 125,176 ekor atau 22 peratus daripada penternakan lembu pedaging negara.

Jika Menteri Besar Kedah telah sebut:

Hangpa (kalian semua) jangan tak mahu mengaku pula rakyat Kelantan kuasa belinya besar.”

Maka saya pula sebut:

Hangpa jangan tak mahu mengaku pula rakyat Kelantan mewah dengan ketersediaan daging lembu segar setiap hari, apatah lagi bagi menyambut Aidil Adha yang bakal menjelang.” 

Maka kami sama-sama bersetuju untuk menyatakan bahawa Kelantan bukanlah negeri termiskin di Malaysia apabila dilihat daripada perspektif yang berbeza. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -