Sekadar hebat di medsos, kecewa di gelanggang forum

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Forum Rakyat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) malam tadi pada andaian awal berlaku pertembungan antara Umno berganding Amanah berdepan dengan PAS, namun keadaan sebaliknya berlaku.

Dalam banyak isu nampaknya hujah Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor agak selari dengan Ketua Pemuda PAS Mohamad Kamal Mohamed.

Sebaliknya Ketua Pemuda Amanah Hazmi Hassan keseorangan dalam banyak situasi. Malah banyak kali ‘diboo’ ribuan anak-anak muda yang hadir di Dewan Perniagaan Cina.

- Advertisement -

Ada ketikanya hujah wakil Amanah ditegur moderator Dr Mohamed Taufek Yaakub daripada Universiti Malaya apabila berhujah tanpa fakta dan lebih sekadar andaian.

Wakil Amanah yang digambarkan sebagai mewakili Pakatan Harapan (PH) dianggap penonton tidak menyerlah idealis pemimpin anak muda masa hadapan biarpun media sosialnya agak ramai pengikut berbanding Kamal dan Hariri.

Ketika forum itu berlangsung Hazmi beberapa kali cuba mengasak isu berkaitan bekalan air dan pembalakan di Kelantan, namun ia tersasar daripada tajuk yang dipersetujui.

Forum itu memfokuskan perancangan masa hadapan anak muda yang mampu ditawarkan setiap panelis. Moderator terpaksa menegur beberapa kali wakil PH terbabit.

Forum berkenaan juga menyaksikan moderator membuka ruang sepenuhnya gelanggang sehingga 25 penonton tampil mengajukan apa sahaja soalan sehingga mencetus suasana agak panas.

Sebahagian besar peserta menyasarkan soalan bermotif politik kepada Mohamad Kamal.

Namun, Ketua Pemuda PAS terbabit menghormati persetujuan awal untuk tidak menjadikan gelanggang forum sebagai medan politik murahan.

Mengulas situasi forum tersebut Pengarah UPKN Ahmad Fathan Mahmood berkata, orang ramai dapat menilai sendiri hujah yang ditampilkan panelis yang mewakili anak-anak muda Kelantan.

Katanya, pada awalnya ramai menjangka pemimpin anak muda yang hebat di media sosial mampu menguasai audien, namun malam tadi ia tidak memperlihatkan begitu.

“Tidak semestinya pemimpin anak muda yang nampak hebat di Medsos mampu berhujah dengan fakta di pentas forum. Malam tadi anak-anak muda yang hadir boleh menilai sendiri.

“Malah pendirian Ketua Pemuda PAS tidak mengulangi sejarah lama Umno sehingga boleh mengeruhkan suasana seharusnya dipuji kerana tujuan forum untuk melihat kerangka masa hadapan anak muda,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Kamal pula berkata, beliau berpegang dengan prinsip politik kasih sayang dan bukan kebencian pada forum malam tadi.

Kata beliau anak muda hari ini memerlukan suatu medan untuk mendekati politik.

“Politik kasih sayang mendidik anak muda memahami demokrasi bernegara dan menjadi sebahagian penyokong kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -