Desakan demi kestabilan atau kuasa?

- Advertisement -

KEBELAKANGAN ini, banyak spekulasi yang dibuat oleh pimpinan sebuah parti politik tanah air terhadap kerajaan sekarang dalam menyegerakan Pilihan Raya Umum ke 15. Alasannya adalah kegagalan dan ketidakstabilan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri sekarang yang perlu dikembalikan kepada mandat rakyat semula. 

Namun begitu, adanya beberapa persoalan berbangkit. Adakah dengan mengadakan PRU-15 merupakan jalan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi negara selain berpatisipasi dalam membantu kerajaan? Adakah pimpinan parti tersebut tidak cukup yakin dengan kredibiliti serta kepimpinan YAB Perdana Menteri sebagai orang nombor satu dalam negara?

Kita memahami bahawa pelaksanaan PRU15 merupakan satu lunas undang-undang yang sah setelah kerajaan sudah capai penggal kelima memerintah. Namun apa yang perlu dilihat adalah keutamaan kita dalam mengurus kebajikan rakyat yang masih lagi perlu diselesaikan dalam fasa permulaan endemik ini. Jika meneliti episod Pilihan Raya Johor dan Melaka, adakah peratusan turun mengundi menggambarkan rakyat begitu mendesak untuk menukar kerajaan? Adakah pengundi muda sudah sedar kepentingan mereka keluar mengundi?

GAMIS yakin dan percaya bahawa kerajaan sekarang yang mempunyai komponen parti politik di dalamnya melambangkan kesatuan dan keamanan dalam negara. Terdapat siri-siri perjumpaan Perdana Menteri kita dalam usaha menyatukan semua parti-parti politik di Malaysia dalam mencari titik persamaan demi kesejahteraan negara. 

Hakikat sebenarnya kita sekarang bukanlah berada di era dahulu yang begitu terpengaruh dengan semangat demokrasi. Rakyat tidak peduli terhadap parti politik manakah yang terbaik untuk memerintah. Mereka mahu melihat parti politik bersatu dan memberikan manfaat kepada rakyat sendiri. Mereka mahukan bukti secara terus dan bukan dengan melaungkan semangat demokrasi sahaja. Mempergunakan nama rakyat dan demokrasi untuk mendapatkan kuasa akan memberikan imej yang buruk buat parti dan boleh melunturkan kepercayaan rakyat.

Maka, GAMIS menyeru semua komponen parti kerajaan mahupun pembangkang untuk kembali fokus kepada kerja mengembalikan kesejahteraan rakyat. Jangan bimbang, gendang pilihan raya akan tetap berbunyi bila tiba waktunya! 

Membangun Kesatuan Mahasiswa”

AIMAN SHAFIQ AZIZAN
Timbalan Pengerusi 1
Majlis Politik Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -