Buku Arus Dari Gunung: Dokumentasi iktibar penjagaan alam sekitar

Sabri (kiri) bersama Sakri (tengah) dan Puzi pada majlis pelancaran buku, Arus Dari Gunung: Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Buku Arus dari Gunung:Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021 boleh dijadikan sumber bukti dokumentasi untuk bacaan buat generasi akan datang dalam mengambil iktibar dari segi teladan dan sempadan berkaitan isu penjagaan alam sekitar.

Penulis bersama buku tersebut, Puzi Hadi atau nama sebenarnya, Mohamad Puzi A. Hadi berkata, karya penulisan berkenaan mampu menjadi dokumentasi sejarah buat generasi hari ini dan akan datang khususnya buat penduduk Yan, Kedah sebagai bahan rujukan rasmi yang boleh dipercayai dan tidak sekadar bahan mitos semata-mata.

- Advertisement -

Menurutnya, dikhabarkan kira-kira 100 tahun lalu, pada tahun 1925 pernah berlaku kejadian yang sama, namun malang tiada catatan atau dokumentasi sejarah untuk dirujuk keabsahannya.

“Saya tidak menolak bahawa musibah tragedi kepala air di Gunung Jerai pada tahun lepas itu merupakan anugerah daripada Allah S.W.T. Pada masa sama, saya begitu tersentuh dengan tragedi itu sebagai satu musibah alam yang agak luar biasa berlaku pada 18 Ogos 2021, yang khususnya telah menggemparkan penduduk Kedah,” ujarnya.

Puzi ditemui HarakahDaily pada majlis pelancaran buku Arus dari Gunung:Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Jun lalu.

Turut hadir ialah Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Ustaz Sabri Azit dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITBM, Sakri Abdullah.

Karya buku Arus Dari Gunung: Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021 mengambil masa selama tiga buan untuk disiapkan.

Dalam pada itu menurut Puzi, susulan terkesan dengan tragedi berkenaan, dia bersama dua lagi penulis, Hassan Baseri Budiman dan Zaidin Abadi yang kesemuanya merupakan anak jati negeri Kedah mendapat ilham untuk menghasilkan buku tersebut kerana ia dirasakan amat sesuai untuk didokumentasi berdasarkan kejadian sebenar. 

Mengulas lanjut, tambahnya, pada peringkat awal, dia serta Hassan Baseri dan Zaidin hanya merancang untuk menerbitkan karya penulisan mengenai tragedi berkenaan dalam bentuk kreatif seperti puisi dan cerpen sahaja.

Hassan Baseri

Namun selepas berbincang dengan Sabri, segalanya berubah apabila beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerai itu memberi pandangan agar memperluaskan skop penulisan tentang tragedi berkenaan daripada karya kreatif semata-mata kepada multi genre.

“Maksudnya, ia mengandungi kedua-dua elemen karya kreatif dan bukan kreatif yang melibatkan aspek sejarah, selain berbentuk laporan daripada maklumat yang sahih. Justeru, ia bersifat multi genre dengan skop yang lebih meluas,” ujarnya.

Sabri hadir menyempurnakan majlis pelancaran buku Arus dari Gunung:Tragedi Kepala Air Gunung Jerai 2021, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Jun lalu. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Menurut Puzi lagi, individu yang memainkan peranan paling penting dalam penulisan karya buku berkenaan ialah Hassan Baseri yang menetap di Sungai Petani dan merupakan anak tempatan Sungai Limau di Yan, Kedah serta dibesarkan dan bersekolah di situ sejak kecil.

“Ada dalam kalangan mangsa-mangsa tragedi berkenaan adalah kenalan Hassan sendiri kenalannya. Jadi mudah untuk dia mendapatkan maklumat untuk sesi temuramah dan laporan, sekaligus memudahkan proses penerbitan buku ini,” jelasnya.

Tambah Puzi, tempoh penulisan buku berkenaan memakan masa selama tiga bulan dari bulan September hingga Disember 2021.

Zaidin Abadi

“Pecahan tugas penulisan buku ini dibahagikan antara kami bertiga. Selain Hassan yang mengumpul maklumat dengan menemu bual individu termasuk mangsa-mangsa tragedi berkenaan, saya pula menumpukan kepada aspek berdasarkan pengumpulan laporan-laporan media massa tentang musubah tersebut termasuk akhbar dan televisyen.

“Sementara, Zaidin pula membuat pengumpulan daripada rakan-rakan penyair dan untuk suntikan karya kreatif ke dalam penulisan buku ini.

“Ia merupakan satu cabaran kerana kami bekerja di bawah tekanan yang mana kita mengejar ‘deadline’ untuk menyiapkan buku ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2022

- Advertisement -