Kerajaan stabil, tidak perlu desak bubar Parlimen

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah kerajaan yang stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Justeru, beliau berkata tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan.

- Advertisement -

“Soal pembubaran ini kalau kita tengok pilihan raya umum sebelum ini pun bukan berdasarkan desakan. Kabinet kena buat keputusan kalau rasa dapat mandat serta rasa dah cukup masa nak bubar, Kabinet serta Perdana Menteri cuma boleh menasihatkan namun Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa mutlak.

“Setakat ini, Yang di-Pertuan Agong titah kita (kerajaan) suruh kerja, Yang di-Pertuan Agong tidak titah kita (kerajaan) suruh ‘politiking’ malah Yang di-Pertuan Agong sebut kurangkan ‘politiking.’ Kerajaan ini akan junjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Jabatan Penerangan Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika ini mahu terus memberi tumpuan melaksanakan banyak agenda kepada rakyat.

“Tetapi cuba digambarkan kerajaan ini tidak stabil, kerajaan ini perlu dibubarkan, adakan pilihan raya umum dan sebagainya sedangkan ini dua dunia berbeza, ini adalah sebuah kerajaan yang cukup stabil.

“Jangan lupa kerajaan ini turut ditadbir berasaskan memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang, MoU tentang kestabilan dan transformasi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -