Peserta halal Malaysia harus rebut peluang perniagaan di Belanda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peserta halal Malaysia harus merebut peluang perniagaan di Belanda yang menyaksikan sektor halalnya berkembang pesat, kata Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Emeliana Zainol.

Beliau seterusnya menggalakkan agar syarikat-syarikat halal Malaysia untuk menumpukan pada trend baharu muncul di Eropah seperti makanan berfungsi, kategori makanan seperti bebas gluten, bebas gula atau bebas laktosa, makanan vegan atau vegetarian, makanan berasaskan tumbuhan dan makanan mampan.

- Advertisement -

“Selain itu, gaya fesyen yang sederhana juga menunjukkan potensi besar dalam kalangan belia Islam di Eropah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Emeliana berkata Belanda dikenali sebagai pintu masuk ke pasaran Eropah adalah batu loncatan yang sempurna untuk mengakses negara Eropah yang lain, dengan saiz pasaran 500 juta pengguna.

Beliau menambah halal begitu pantas menjadi cadangan atau usul kepada nilai pilihan walaupun dalam kalangan bukan-Islam.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Nadzirah Osman berkata industri halal di Eropah telah berkembang dengan pesat terutama dalam sektor makanan.

“Kita boleh melihat banyak produk halal yang terdapat di rak pasar raya dan ini menunjukkan minat yang kian meningkat dalam kalangan pengguna di Belanda terhadap produk halal.

“Kita juga percaya syarikat Malaysia dalam sektor ini boleh memilih Belanda sebagai landasan pelancaran mereka ke pasaran Eropah,” katanya.

MATRADE, melalui pejabatnya di Rotterdam bahagian komersial Kedutaan Malaysia di Belanda telah menganjurkan sesi rangkaian dengan peserta industri halal Belanda pada 25 Mei 2022, di Hague.

Acara itu menarik 30 wakil dalam kalangan industri makanan dan minuman, fesyen sederhana, kosmetik, perundingan halal dan industri latihan.

Belanda ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Eropah, dengan jumlah dagangan RM36.01 bilion pada 2021.

Negara itu juga merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia di Eropah tahun lepas, dengan eksport bernilai RM31.18 bilion meningkat 32.7 peratus daripada tahun sebelumnya. – BERNAMA

- Advertisement -