Ipoh lokasi Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat esok

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri pada 28 Mei 2022 ini dan telah memilih Negeri Perak sebagai Tuan Rumah pada tahun ini.

Bertempat di Dewan Stadium Indera Mulia, Ipoh, majlis akan berlangsung bermula pada pukul 11 pagi dan berakhir pada pukul 3:00 petang.

- Advertisement -

Pemilihan Stadium Indera Mulia sebagai lokasi majlis sambutan pada kali ini sudah pasti mengimbau kembali kenangan penganjuran Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 pada tahun 2008 ketika PAS memimpin Kerajaan Negeri Perak bersama Pakatan Rakyat.

Seluruh jentera PAS Perak terlibat untuk membantu pelaksanaan program ini. Ia melibatkan PAS di peringkat Dewan-dewan Negeri dan Kawasan-kawasan.

PAS Kawasan-kawasan terlibat secara langsung untuk  menyediakan juadah yang ditetapkan. Antara yang bakal dihidangkan adalah Nasi Gulai Kawah, Sate Ayam, Nasi Impit, Lemang, Rendang Ayam, Bihun Sup, Laksa, Char Kuay Teow, Rendang Tok, Cendol dan Kambing Golek.

Jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang telah menyalurkan sumbangan kepada Rumah Terbuka ini khususnya kepada seluruh Menteri dan Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri dari PAS, Dewan-dewan PAS Pusat, PAS Negeri atau Wilayah telah menyalurkan sumbangan yang ditetapkan.

Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh dan Majlis Bandaraya Ipoh yang telah membenarkan kami untuk menggunakan Stadium Indera Mulia dan memudahkan pelbagai urusan dalam persiapan majlis ini. Seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat ini.  

“Malaysia Sejahtera”

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Penolong Setiausaha Agung PAS merangkap 
Timbalan Pengerusi Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat 2022 – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -