Air banyak di Kelantan: Bagaimana tempat simpannya?

- Advertisement -

“AIR banyak di Kelantan, cuma tak ada tempat nak simpan,” demikian kata yang dipetik daripada penjelasan situasi masalah bekalan air di negeri itu oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah daripada pertanyaan pihak media, semalam.

Gegak gempita sinis, kritik, kutuk dan keji yang telah dihamburkan. Membodohkan apatah lagi. Begitulah sikap manusia yang ada masalah hati dan akal. Masalah hati timbul kerana prejudis merasai diri betul. Masalah akal kerana rasa diri bijak.

Walhal, mereka hanya baca sebaris tajuk, tapi mengulas bagaikan seorang pakar, seolah-olah telah memahami gambaran sebenar maksud dan tujuan serta seluruh ungkapan oleh penuturnya.

Orang yang tak mengikuti sesuatu isu takkan boleh faham kalau terus malas membaca dan mengkaji. Amat malang apabila terus membodoh dan membohongi orang, sedangkan diri sendiri yang jahil mengenai hal pengurusan air.

Saya petik satu rangkap transkrip yang ‘tak betul’ oleh wartawan Astro Awani untuk dinilai betapa malas dan lalainya beliau membuat homework untuk berita ini, termasuk editor yang menyemak dan pengarang yang mengizin siar:

“Kalau kita buat tab (kolam takungan), kita boleh simpan air dan dari kolam atau tab dan kita boleh salur ke kawasan yang perlu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Sebenarnya ejaan terma ‘tab’ itu jelas salah. Apa yang disebut dan dimaksudkan oleh penutur (Dato Nik Amar) adalah TAPS.

Apakah itu TAPS?

Takungan Air Pinggiran Sungai atau Off River Storage (ORS). Fungsi TAPS ini adalah bagi menyimpan air untuk kegunaan bila musim kering sebagai rizab air mentah.

Manakala pada musim hujan luar biasa pula, kolam TAPS akan menjadi penampan terhadap masalah banjir. Nama pun TAPS sudah tentu ia dibina di tepi sungai untuk kawal paras air bagi mencegah air masuk ke kawasan lain.

Jadi wartawan Astro Awani ni nampaknya main sedap telinga dan tangan saja nak tulis perkataan ‘tab’ . Punya tak semenggah nak mainkan headlines untuk kejar pembaca-pembaca murahan bermain-main dengan elemen misleading.

Bila ditanya senang jer wartawan ni nak lepas tangan. Kami menyerahkan pada kebijaksanaan pembaca. Walhal, kita boleh faham kelicikan mereka membuat tipu daya demi hit terhadap portal mereka.

Saya nak jelaskan apa maksud ‘tempat nak simpan air’. Ada orang dengan sejenak fikir, tempat simpan air hanyalah tangki sahaja.

Cuma bagi yang terdedah kepada hal pengurusan air lebih luas akan nampak dua perkara. Pertama simpanan sumber air mentah dan kedua simpanan air terawat.

TAPS adalah tempat simpanan air mentah yang belum dirawat di loji rawatan air (LRA). Apa yang berbeza TAPS dan empangan adalah TAPS biasanya terletak di hilir sungai dan berfungsi untuk menampung keperluan bekalan dan tujuan mitigasi banjir bagi lokaliti kecil.

Manakala empangan pula biasanya berada di hulu sungai bagi menampung kawasan besar dalam sesuatu kawasan lembangan sungai.

Satu empangan kadang boleh menampung keperluan satu negeri atau beberapa negeri seperti Empangan Muda untuk Kedah dan Pulau Pinang. Air daripada empangan dilepaskan bagi menaikan paras sungai di bawahnya, supaya operasi LRA tidak terjejas.

Selain itu, ada juga yang dipanggil ‘reservoir’ merupakan tasik semulajadi yang menjadi tempat simpanan air dapat berfungsi seperti TAPS. TAPS biasanya adalah tasik buatan dihilir dan pinggiran sungai.

Ini baru bahas tentang sumber air daripada ‘surface water’ (air permukaan). Belum cakap lagi mengenai sumber simpanan  ‘underground water’ (air bawah tanah).

Bagaimana dengan penyimpanan air terawat?

Pertama sekali kena faham apa itu air terawat. Air terawat adalah air daripada sumber-sumber simpanan air mentah tadi yang telah diproses di loji-loji rawatan air.

Air terawat ini selepas dirawat akan dialirkan ke dalam jaringan paip dan disimpan di dalam tangki-tangki pada lokaliti tertentu. Secara tak langsung air juga tersimpan dalam sistem jaringan paip itu sendiri.

Masalah kebocoran paip-paip lama adalah antara punca penting yang menyebabkan kehilangan air dalam jaringan pengurusan air terawat. Negeri yang mempunyai jumlah panjang jaringan paip lama yang paling rendah akan dapat mengelakkan kehilangan air.

Untuk rekod, kira-kira hampir 5,000 kilometer (km) daripada lebih 8,000km paip air di Kelantan adalah paip lama yang perlu ditukar kerana berhadapan risiko mudah bocor.

Jadi siapa yang faham angka-angka ini akan faham kenapa Timbalan MB Kelantan cakap ‘tiada tempat nak simpan’ tersebut.

Selain itu TMB Kelantan telah dijelaskan rancangan pembinaan kolam TAPS untuk Kelantan di Machang telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Penegasan mengenai anggaran RM7 bilion itu antaranya melibatkan pembinaan loji rawatan air (LRA) yang baharu. Juga kolam TAPS serta penukaran paip lama kepada yang baharu sekitar 5,000 kilometer bagi menjamin kelestarian pengurusan sumber air mentah dan juga air terawat.

Jadi angka RM7 bilion bukanlah isu bagi yang faham perincian mengenai pengurusan air. Polemik tak ada tempat simpan pun dah terjawab.

Kalau baca yang tajuk saja, akhirnya nampak tak cerdik tu kena ke batang hidung sendiri. Nasib la…

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -