Umat Islam Afrika Selatan rai kedatangan Syawal dengan edar makanan

Sukarelawan menyediakan makanan untuk diedarkan di sekitar Cape Town
- Advertisement -

CAPE TOWN: Umat Islam di bandar ini, meraikan kedatangan Syawal dengan meneruskan tradisi murni sejak 40 tahun lalu, iaitu ketika kemuncak apartheid dengan menyediakan juadah kepada kira-kira 90,000 orang daripada kalangan kurang bernasib baik.

Tahun ini, terdapat keperluan untuk memberi bantuan tambahan berikutan peningkatan kadar inflasi akibat konflik di Ukraine yang melonjakkan harga makanan ruji, sekali gus menyukarkan penduduk yang kekurangan wang di ekonomi paling maju benua Afrika.

- Advertisement -

Pada hari terakhir Ramadan di Afrika Selatan, Isnin lalu, nasi berlauk kentang dan daging diedarkan kepada penduduk tanpa mengira agama di bandar ini.

“Dalam kes Islam atau lebih khusus Ramadan, terdapat peningkatan seruan untuk kemurahan hati,” kata Sheikh Sadullah Khan, antara pengasas bersama Nakhlistan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan sejak 1984.

“Anda tidak boleh merayakan Aidilfitri melainkan anda memenuhi keperluan orang miskin di suatu tempat,” katanya.

Berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia menyambut perayaan kedatangan Aidilfitri, yang menandakan berakhirnya tempoh puasa Ramadan selama sebulan.

Di padang ragbi yang kosong, barisan periuk besar 130 liter disusun, dikacau selama berjam-jam dengan papan kayu seperti dayung untuk memasak bertan-tan makanan yang kemudian dihantar ke beberapa komuniti termiskin bandar ini dan juga penjara.

“Saya bersyukur kerana anda tahu terdapat ramai orang yang tidak mempunyai (makanan) dan di sini, kemiskinan adalah nyata,” kata Tamia Galant di Bishop Lavis yang menerima bantuan makanan.

Mengikut Indeks Kemampuan Isi Rumah Afrika Selatan, kos purata makanan isi rumah meningkat sebanyak 8.2 peratus atau 344 Rand (AS$21.34) untuk mencapai 4,543 Rand, April tahun ini.

Kos makanan ruji yang tinggi bermakna pelbagai makanan berkhasiat terpaksa dikeluarkan daripada hidangan keluarga, memberi kesan kepada kesihatan isi rumah dan membantutkan perkembangan kanak-kanak. – REUTERS

- Advertisement -