Jerman mahu misi pengaman EUFOR diteruskan di Bosnia

Anggota misi pengaman EUFOR menjalani latihan di Kalinovik, Bosnia Herzegovina
- Advertisement -

SARAJEVO: Jerman akan berusaha supaya misi pengaman Kesatuan Eropah (EU) di Bosnia Herzegovina, dilanjutkan ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai ketidakstabilan di negara Balkan itu akibat peperangan di Ukraine.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Jerman, Christine Lambrecht, berkata negaranya belum memutuskan sama ada akan menghantar anggota tentera menyertai Pasukan Eropah di Bosnia dan Herzegovina (EUFOR).

- Advertisement -

“(Misi EU) EUFOR adalah isyarat penting untuk kestabilan negara. Jerman akan menjalankan peranan untuk memastikan misi ini diteruskan,” katanya kepada wartawan selepas bertemu rakan sejawatannya dari Bosnia Herzegovina, Sifet Podzic di sini.

Bagaimanapun, belum ada keputusan sama ada Berlin buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun akan menghantar tentera untuk misi EUFOR.

NATO dan pegawai kanan EU memberi amaran bahawa ketidakstabilan akibat perang di Ukraine boleh merebak ke rantau Balkan.

Bosnia terletak ratusan batu dari medan pertempuran di Ukraine, tetapi berdepan gerakan pemisah Serb Bosnia yang penganalisis berpandangan mempunyai sekurang-kurangnya sokongan tersirat dari Moscow.

Hanya beberapa hari selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, EU memutuskan untuk menggandakan saiz pasukan EUFOR daripada 600 kepada 1,100 anggota tentera dengan menghantar pasukan simpanan untuk mengelakkan kemungkinan berlaku ketidakstabilan.

Mandat EUFOR bakal berakhir November tahun ini dan bergantung kepada Majlis Keselamatan PBB untuk melanjutkan tempoh misi pengaman setahun lagi. Namun, kebimbangan semakin meningkat bahawa Moscow mungkin menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan usaha itu.

Podzic memberi amaran: “Kita tidak boleh membiarkan keamanan di Bosnia sejak 25 tahun lalu tergugat.”

EUFOR menggantikan pasukan pengaman NATO di Bosnia pada tahun 2004.

Kehadiran tentera Eropah di Bosnia bertujuan untuk menstabilkan negara itu selepas etnik Serb yang disokong Serbia melancarkan peperangan terhadap etnik Croat dan Bosniak Bosnia pada 1990-an yang menyebabkan kematian hampir 100,000 orang. – REUTERS

- Advertisement -