Waspada hebah kanak-kanak hilang di media sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hebahan melalui media menerusi aplikasi antaranya Facebook dan WhatsApp mengenai kehilangan kanak-kanak sememangnya dapat membantu pihak berkuasa, tetapi ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi menjaga keselamatan kanak-kanak dan keluarga yang terlibat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ibu bapa atau orang ramai yang ingin membuat hebahan kanak-kanak hilang perlu menggunakan platform yang betul.

- Advertisement -

Beliau berkata ibu bapa terlebih dahulu perlu membuat laporan polis dan menyerahkan tindakan hebahan dibuat oleh pihak polis melalui sistem hebahan yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang khusus untuk memastikan maklumat kanak-kanak disebar luas dengan mekanisme yang betul.

“Hebahan kanak-kanak hilang perlu mengikut SOP yang digariskan polis bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dan ahli keluarga tidak terancam dan disalahgunakan.

Hebahan hanya akan dibuat dengan kebenaran bertulis ibu bapa setelah siasatan mendapati tiada melibatkan unsur-unsur tebusan dan ancaman,” katanya kepada Bernama.

Abd Jalil berkata hebahan juga hanya memaparkan butir-butir yang terhad seperti gambar kanak-kanak yang hilang, nama, nombor laporan selain nama dan nombor telefon pegawai penyiasat.

Menurutnya polis dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat turut membangunkan sistem amaran awal kanak-kanak hilang yang dikenali sebagai National Urgent Response Alert (NUR Alert) bagi membuat hebahan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang dilaporkan hilang.

“Hebahan melalui NUR Alert hanya akan dibuat oleh pasukan petugas yang diluluskan oleh polis seperti pihak Facebook, bank, syarikat telekomunikasi yang sehingga kini berjumlah 41 ahli petugas daripada pelbagai agensi,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah Datuk Seri Akhbar Satar berkata tindakan menguar-uarkan kehilangan anak mereka melalui kaedah media sosial merupakan cara yang cepat untuk menyebarkan maklumat dan mengajak orang ramai membantu mengesan anak yang hilang itu.

“Tetapi adalah dinasihatkan juga laporan polis turun dibuat dengan segera agar pihak polis mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin, ibu bapa juga perlu mendapatkan nasihat daripada polis mengenai apa maklumat yang boleh didedahkan kepada orang ramai bagi mencari anak mereka,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -