Kuota Haji 2022, terima kasih Menteri Agama

- Advertisement -

KERAJAAN Arab Saudi telah mengumumkan sebanyak 1 juta umat Islam boleh memasuki kawasan Tanah Haram menunaikan ibadah Haji bagi tahun 2022, 40 peratus sahaja daripada jumlah umat Islam yang menunaikan Haji bagi 2019 iaitu sebanyak 2.5 juta. 

- Advertisement -

Sudah pasti ramai bersedih dan kurang gembira dengan pengumuman kuota sebanyak 14,306 yang diberikan kepada Malaysia. Namun begitu, bidang kuasa dan kata putus tetap berada pada tangan Arab Saudi, alhamdulillah meskipun hampir 2 tahun tertunggak, tahun ini umat Islam Malaysia masih diberikan kesempatan menunaikan haji.

Persediaan lebih ketat dari sudut keselamatan dan kesihatan tentunya telah diambil kira Kerajaan Arab Saudi dalam pengumuman kuota tahun ini.

Syarat jemaah bagi tahun ini pula menyaksikan pertambahan yang lebih khusus seperti individu dibenarkan adalah berumur bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.

Surat tawaran akan diedarkan dalam masa terdekat maka sewajarnya kita mengambil peluang dan nikmat ini lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan untuk menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T dalam memberikan semula kita nikmat menyambut ibadah Haji. 

Insya-Allah kepada umat Islam yang amat rindukan Baitullah dan ingin menunaikan Haji namun tidak diberikan kesempatan kali ini, Allah S.W.T memahami keadaan kalian serta akan memberi ganjaran atas kesabaran tuan puan dalam menanti giliran ke bumi Makkah Al Mukarramah.

Terima kasih Pasukan Menteri Agama atas usaha menyediakan yang terbaik buat umat Islam menunaikan Haji. Kita doakan perjalanan jemaah tahun ini dipermudahkan.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -