Mohon PM selesaikan masalah jalan raya di Kelantan

Beri perhatian dan laksanakan atas nama 'Keluarga Malaysia'

- Advertisement -

STRUKTUR jalan raya Persekutuan di Kelantan sangat teruk dan tidak dibina dengan baik serta tidak menerima penyelenggaraan yang sepatutnya. Ini kunci kenapa banyak infrastruktur perhubungan itu di negeri ini rosak, berlubang, tidak rata, beralun dan sebagainya yang mengundang risiko kemalangan juga kerosakan kenderaan.

- Advertisement -

Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pakar dan pelaksana mewakili kerajaan sendiri mengakui dan mengeluh mengenai isu ini. Tetapi JKR pun tak dapat nak bekerja, sebabnya ‘bajet ciput’. Peruntukan untuk pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya Persekutuan di seluruh negara sangat-sangat sikit; contohnya pada tahun 2019, diberi hanya 5 peratus dari keperluan sebenar.

Tetapi ada juga negeri yang diagihkan jumlah dana besar bagi tujuan itu. Johor contohnya, pada 2021 bagi kerja penyelenggaraan jalan raya Persekutuan terutama membabitkan daerah Johor Bahru menerima keseluruhan RM36.29 juta daripada Kerajaan Pusat. Negeri lain pun perlu juga, Kelantan pun perlu juga.

Boleh JKR atau Menteri atau Timbalan Menteri yang berkenaan nyatakan, berapa diperuntukkan untuk tahun ini, 2022 dan tahun lepas 2021 sebagai makluman kepada seluruh rakyat? Berapa yang disalurkan pula untuk Kelantan?

Pada era Pakatan Harapan (PH) dahulu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng banyak mengecilkan peruntukan peruntukan keperluan rakyat sebegini. Contohnya, terdapat pengurangan peruntukan bagi penyelenggaraan berkala Lebuh Raya Timur Barat (FT04) pada tahun 2019 berbanding tahun sebelumnya. 

Bahkan Menteri Kerja Raya pada waktu itu, Baru Bian pernah berkata, sebanyak RM5.72 juta diperuntukkan bagi 2018 manakala setakat Ogos 2019 kementerian memperuntukkan RM2.98 juta bagi tujuan tersebut.

Bian juga mengakui, kementerian itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkesan kerana hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2019.

Itu semua zaman PH yang sememangnya tidak mementingkan rakyat dan negara. Syukurlah mereka telah jatuh dan rakyat enggan melihat mereka naik lagi.

Kini Menteri Kewangan bertukar tangan kepada Tengku Zafrul Abd Aziz. Adakah Zafrul mengekalkan corak pemikiran Kerajaan PH dahulu yang telah mengurangkan peruntukan kepada kementerian-kementerian? Terutama melibatkan keperluan atau penggunaan awam begini?

Kerana katanya mahu mengecilkan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion? Lim Guan Eng dahulu kononnya berusaha membawa ekonomi negara kembali ke landasan yang betul secara fiskal dalam tempoh tiga tahun. Tetapi rakyat hanya dapat e-dompet RM30 zaman PH, berbanding banyak peruntukan lain dikurangkan.

Dalam memastikan kepentingan rakyat sebegini terjaga khususnya bagi jalan raya Persekutuan di Kelantan, kita berharap Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Ahli-ahli Parlimen dan JKR terus bersuara untuk memastikan peruntukan sewajarnya dapat diberi dan diagihkan.

Secara khusus, tugas penting isu ini wajib dimainkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memastikan struktur jalan raya Persekutuan dalam keadaan terbaik. Bukan sahaja bagi menjamin kelancaran trafik, tetapi mengelak kebimbangan oleh sebarang risiko kepada pengguna.

Kita faham realiti tugas kementerian untuk memastikan kerja penyelenggaraan 17,771.4 kilometer (km) jalan raya Persekutuan yang terdapat di seluruh negara terjamin bukan mudah. Apatah lagi apabila setiap kali Menteri Kewangan membentangkan belanjawan tahunan, peruntukan penyelenggaraan jalan terlalu sedikit disediakan. Berbanding keperluan sebenar sebanyak RM2 bilion setahun pada 2019 contohnya, tetapi hanya diperuntukkan RM100 juta.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, tolonglah selesaikan masalah jalan raya Persekutuan di negeri kami dan juga negeri-negeri lain dengan seadil dan sewajarnya. Episod lama Kelantan terzalimi didiskriminasi dan dianaktiri biarlah terhenti pada zaman ‘Keluarga Malaysia’ ini.

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -