Aidilfitri: Pengeluaran ayam, daging ditambah 30 peratus

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Kementerian Pertanian  dan Industri  Makanan (MAFI) akan  menambah kuota pengeluaran bekalan  makanan  asas  terutama ayam dan daging sebanyak 30 peratus bagi keperluan musim perayaan  sempena Aidilfitri  bulan depan.

Timbalan  Menteri MAFI II,  Dato’ Dr Nik Muhammad  Zawawi  Salleh  berkata, kerajaan diberi  jaminan  bekalan bahan asas  itu mencukupi di pasaran.

- Advertisement -

“Rakyat  tidak  perlu sangsi  dan gusar  terhadap bekalan berkenaan kerana kerajaan sentiasa  memantau,”  katanya  kepada pemberita selepas  meninjau  Program  Jualan  Keluarga  Malaysia  Parlimen  Pasir Puteh di Pasir  Puteh Central  di  sini,  hari ini.

Beliau  yang juga Ahli  Parlimen  Pasir Puteh  berkata, semua  pihak perlu memberi kerjasama dengan kerajaan  terutama  pemborong  dan peruncit  supaya tidak  menyorot, mengurang jualan dan menyeludup  ke negara  jiran  untuk  mendapat  keuntungan  lebih.

Katanya,  aktiviti penyeludupan berlaku disebabkan  bahan-bahan  makanan  itu lebih  mahal  berbanding di negara  ini  kerana  kerajaan mengeluarkan  subsidi.

Oleh itu kata beliau  jika  didapati ada pihak yang  melakukan  kesalahan  itu  tindakan tegas akan diambil tanpa  mengira status seseorang.

“Rakyat  perlu  bersyukur  dan  berterima kasih kepada kerajaan  yang  sanggup  berbelanja  besar  bagi  mengeluarkan  subsidi  terhadap  bahan makanan walaupun dalam keadaan yang  sukar  disebabkan ancaman Covid-19,”  katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2022

- Advertisement -