4,761 pendeposit Tabung Haji melebihi RM1 juta

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sehingga 31 Mac lalu Tabung Haji (TH) mempunyai 7.1 juta penyimpan di bawah RM10,000 dan 4,761 penyimpan lagi melebihi RM1 juta.

Manakala 604,542 pendeposit menyimpan bukan untuk tujuan menunaikan ibadat haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, TH merupakan sebuah institusi perbankan yang diberi jaminan oleh kerajaan.

- Advertisement -

Selain itu katanya kadar pulangan terhadap jumlah simpanan yang diberikan menjadi sebab TH terus mendapat sambutan rakyat.

“Kaedah Tabung Haji berbeza dengan lain, dia satu tabung, kedua untuk tunai haji, perlu ingat duit tersebut bukan duit kerajaan. Duit yang kita beri bantuan haji diambil daripada keuntungan yang simpan situ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Pusat Mawaddah di sini hari ini. Pusat itu anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi; timbalannya, Rohani Ibrahim dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan Dr Hasnan Ramli.

Pusat Mawaddah ditubuhkan bagi merealisasikan Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan yang terletak di perkarangan Stesen Bas Kota Bharu yang bertujuan memperkasakan institusi keluarga.

Sementara itu Idris berkata, jumlah subsidi untuk menunaikan ibadah haji tahun ini akan diputuskan selepas pengumuman mengenai kuota haji yang akan dibuat oleh kerajaan Arab Saudi dalam masa terdekat.

Menurutnya setakat ini kerajaan Malaysia hanya mengekalkan keputusan sebelum ini untuk memberi subsidi kepada semua jemaah haji.

Kata beliau pengumuman akan dilakukan apabila kerajaan Arab Saudi memberitahu berapa kuota haji Malaysia dan akan diumum segera mengenai pertambahannya.

“Saya buat surat melalui Kedutaan Arab Saudi bagi tujuan itu, kerana tahun ini jumlah jemaah haji yang diumumkan kerajaan Arab Saudi hanya satu juta, sedangkan tahun sebelumnya 2.5 juta,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya cakna terhadap cadangan agar menyemak semula langkah pemilihan jemaah haji serta melaksanakan secara bersasar iaitu melibatkan golongan kurang berkemampuan khas kategori B40.

“Setakat ini mungkin kita bagi dua-dua dahulu tetapi ada formula yang hendak kita bagi nanti kerana kita perlu ingat dalam penyimpanan di sini ada kaedahnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 16/4/2022

- Advertisement -