Wujudkan modus operandi kawal harga ayam

Terkini harga ayam sebelum dimansuh subsidi, ia sebenarnya telah naik di pasaran apatah lagi berkuatkuasa 1 November subsidi ditarik.
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

SHAH ALAM:
Kerajaan sewajarnya sudah mempunyai satu modus operandi yang cukup praktikal bagi menangani isu kenaikan harga ayam setiap kali menjelang musim perayaan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari, berkata kerajaan perlu meningkatkan usaha bagi memastikan rantaian industri perbekalan ayam sentiasa terjamin, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada bekalan import.

- Advertisement -

“Ertinya daripada bermula peringkat perbekalan dedak lagi perlu untuk diperhatikan sebab kadang-kadang harga ayam meningkat naik kerana pembekal menyatakan yang penternak yang menaikkan harga ayam, penternak pula salahkan kepada pembekal makanan dan sebagainya.

“Jadi rantaian ini perlu diperhatikan sebab keperluan ayam di Malaysia ini sangat tinggi, jutaan ekor ayam diperlukan setiap hari bagi memenuhi permintaan rakyat di negara ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga bekalan mentah berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Iftar Perpaduan Dewan Pemuda PAS Malaysia di Mardhiyyah Hotel and Suites, Seksyen 14, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu katanya, usaha penguatkuasaan bagi mengawal kenaikan harga daging mentah itu juga perlu dipertingkatkan bagi membantu pengguna membeli pada harga siling yang ditetapkan.

“Kerajaan perlu meningkatkan usaha-usaha untuk mengawal rantaian ini dan dalam masa yang sama mempunyai pelan jangka masa panjang.

“Dalam erti kata lain, kita tidak boleh bergantung kepada import semata-mata, kita perlu memperkasakan industri ternakan ayam di peringkat tempatan,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas

Sebelum ini, tinjauan di Pasar Dato’ Keramat baru-baru ini mendapati harga ayam yang dijual di pasar awam berkenaan tidak mematuhi harga siling dan menjualnya antara RM9 hingga RM9.50 berbanding RM8.90 bagi setiap kilogram.

Bermula 5 Februari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan harga siling runcit bagi ayam standard adalah RM8.90 dan harga berkenaan akan berkuat kuasa sehingga 5 Jun depan bertujuan menjamin kestabilan harga ayam dan makanan berkaitan harga mentah. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -