Harga sepasang baju raya RM500, okey – Fyrose

Harga sepasang busana raya pada tahun ini dalam julat antara RM200 hingga RM500 menurut Fyrose Zainuddin adalah berpatutan. - (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SHAH ALAM: Setelah dua tahun rakyat Malaysia terpaksa meraikan Aidil Fitri dalam suasana di luar kebiasaan termasuk tidak boleh pulang beraya di kampung disebabkan pandemik Covid-19, pada tahun ini, hari kemenangan umat Islam selepas sebulan menjalani ibadah puasa di bukan Ramadan itu bakal diraikan dalam suasana yang kembali normal.

Sudah tentu, soal baju raya baharu antara yang menjadi keutamaan orang ramai. Namun, timbul pula isu tentang harga baju raya pada tahun ini yang dikatakan harga standard adalah dalam julat antara RM200 hingga RM500 sepasang.

- Advertisement -

Pereka fesyen, Fyrose Zainuddin, semasa ditemubual HarakahDaily, baru-baru ini berkata, harga untuk sehelai busana untuk digayakan pada Aidil Fitri pada kadar harga tersebut adalah berpatutan.

Menurutnya, jika tiga tahun lalu kos untuk sepasang busana Aidil Fitri yang direka pereka fesyen mencecah harga RM500 adalah sedikit mahal, tetapi kini tidak lagi dan menurutnya ia harga yang berpatutan.

“Pada asasnya, mereka (penjual) akan letakkan harga bergantung kepada jenis pakaian yang ditawarkan. Kalau RM200 ke RM300 sekarang adalah harga yang biasa.

“Pada 2017 dan 2018, harga baju raya RM500 masih dirasakan mahal, tetapi selepas itu, baju berharga RM500 adalah dalam linkungan harga standard untuk baju ready to wear (RTW),” katanya.

Golongan wanita biasanya menggayakan busana raya yang menyerlah termasuk yang beropol-ropol pada hari raya pertama. – (FOTO HIASAN)

Kata Fyrose, harga yang diletakkan itu adalah berpatutan berdasarkan apa yang ditawarkan penjual atau pereka fesyen itu sendiri.

“Contohnya, jenama, pereka itu sendiri, rekaan busana, kualiti jahitan dan pakaian yang bermutu, serta jenis material yang digunakan dalam menghasilkan busana berkenaan.

“Kalau pengguna membeli pakaian yang dihasilkan pereka fesyen, jika hasil dan kualiti yang diterima pengguna tak bagus, ia akan memberi kesan kepada nama dan reputasi pereka feseyen itu sendiri.

“Jadi, bagi mendapatkan kualiti dan hasil kerja yang bagus daripada pereka fesyen, itulah harga yang perlu dibayar untuk dapatkan rekaan dari pereka tertentu. Jadi, harga RM500 untuk sepasang baju raya adalah okey,” katanya.

Fyrose berkongsi tip dan maklumat tentang perkembangan terkini industri fesyen busana raya tempatan ketika ditemubual wartawan HarakahDaily, Syahirah Salleh baru-baru ini. (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)

Namun kata Fyrose, penetapan harga bergantung kepada kelompok sasaran pembeli yang dimahukan pereka fesyen dan penjual terutamanya dari aspek kadar pendapatan pengguna.

Bagi Fyrose yang juga menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, dia memilih untuk mensasarkan pembeli yang mempunyai kadar pendapatan yang mampu membeli sepasang busana raya pada harga RM189 ke bawah.

“Saya tidak dapat meletakkan harga untuk sepasang aju raya melebihi harga itu disebabkan sasaran pembelinya ialah wanita yang baru menceburkan diri dalam dunia pekerjaan, serta penjawat awam,” jelasnya.

Ditanya jika lingkungan harga berjumlah RM200 hingga ke RM500 adalah harga yang sesuai untuk golongan B40 membeli busana Aidil Fitri, kata Fyrose, ia adalah perkara subjektif.

“Benda itu subjektif, walaupun B40, kalau golongan tersebut sudah sediakan bajet khas untuk baju raya dan memilih rekaan dari pereka yang diinginkan, jadi mereka mampu.

“Ia bergantung kepada perancangan individu dan bagaimana mereka merancang untuk sambutan hari raya,” katanya lagi.

Fesyen baju raya Abaya menurut Fyrose biasanya digayakan golongan wanita pada hari raya kedua dan seterusnya. (FOTO HIASAN)

Menurut Fyrose, berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannnya dalam industri fesyen dan usahawan, kebanyakan wanita di Malaysia akan membeli lebih daripada satu pasang busana raya.

“Sekurang-kurangnya dua pasang dan mereka akan membeli beberapa helai lagi untuk menghadiri rumah terbuka pula sepanjang sebulan Syawal,” ujarnya.

Tambahnya, kebiasaannya golongan wanita akan memakai busana yang lebih menyerlah pada hari raya pertama, sebelum kemudian akan memilih busana yang lebih natural atau ‘tone down’ untuk hari raya seterusnya.

“Mungkin untuk hari raya yang pertama, wanita akan pakai baju raya yang bold (menyerlah atau menarik perhatian), atau warna yang bold, sama ada design yang ‘kepuk-kepuk’ (beropol-opol), tetapi masuk hari raya kedua, dan seterusnya mereka akan memakai baju raya yang tampak slow down sedikit.

“Kalau tanya saya, perempuan memang biasa akan beli sepasang baju untuk hari raya pertama dengan rekaan yang ‘strong and bold‘ (sangat menyerlah), hari kedua itu akan ‘tone down’ macam yang diperbuat daripada cotton (kain kapas), yang ‘light weight’ sediikit, kemudian akan beli lagi baju raya untuk ‘open house’,” katanya.

Busana dengan warna senada sentiasa menjadi pilihan golongan wanita di Malaysia, khususnya untuk digayakan pada hari raya pertama. (FOTO HIASAN)

Menurut Fyrose lagi, bagi sambutan Aidil Fitri kali ini, wanita di Malaysia masih memilih rekaan baju kurung yang ‘clean cut’, baju kurung moden senada tanpa warna kontra yang menghasilkan siluet yang lebih kemas, cantik dan ringkas.

Untuk pemilihan warna pula, ramai pembeli masih mengekalkan pemilihan warna pastel dan hanya sedikit warna yang terang bergantung kepada tona warna.

“Tak banyak yang pilih warna kontra macam fabrik warna lain macam biru, tetapi lace dan perincian warna lain seperti merah. Jarang nampak, tetapi ada.

“Tahun ini saya rasa warna yang trend mungkin fuschia pink dengan lime colour macam lime green, tetapi semua itu bergantung kepada individu yang akan tentukan tema warna untuk baju raya mereka pada tahun ini.

Tambah Fyrose, kebanyakan pereka juga akan mengeluarkan baju mengikut permintaan berdasarkan kajian terhadap pelanggan mereka sebelum ini.

Katanya, walaupun Malaysia juga tidak ketinggalan untuk mengikut trend dari luar, tetapi faktor cuaca dan budaya juga perlu diambil kira.

Rakyat Malaysia bakal kembali meraikan sambutan Aidil Fitri pada tahun ini selepas dua tahun negara dibelenggu pandemik Covid-19. (FOTO HIASAN)

Bagaimanapun, menurut Fyrose, beliau dapat melihat kini ramai rakyat Malaysia sudah tidak kisah mengenai cuaca panas di Malaysia dan mengenakan baju yang berwarna terang pada hari yang panas.

Pemilihan Abaya di hari raya, ujarnya, juga sesuai, lebih-lebih lagi banyak kemajuan yang dibuat terhadap rekaan Abaya termasuk dari aspek rekaan, perincian, kualiti, warna dan jenis fabrik berbanding sebelum ini yang hanya dihasilkan dalam warna hitam dan putih.

Namun katanya, pembeli selalunya jarang mengenakan Abaya pada hari pertama dan lebih gemar mengenakannya pada hari kedua dan ketiga memandangkan Abaya lebih mudah dipakai berbanding baju kurung yang berlapis-lapis.

Ditanya jenis busana yang tak lekang dek zaman, tak lapuk di hujan untuk di pakai pada hari raya, kata Fayrose, tentunya ia adalah baju kurung.

Namun, pemakai boleh memilih baju kurung dengan perincian yang disukai serta jenis fabrik yang selesa seperti kurung cotton, kurung chiffon dan sebagainya.

Busana rekaan Fyrose dikhususkan kepada golongan wanita yang baru menceburkan diri dalam pekerjaan, dan penjawat awam. (FOTO MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY)

“Kalau saya meletakkan diri saya di tempat pelanggan, pelanggan perlu bijak, buat survey, pergi ke butik, vendors, kalau mereka ada pereka kesukaan, beli apa yang pereka itu tawarkan.

“Kalau tidak tahu nak beli apa, saya akan pergi survey, macam ada dalam kalangan kita ada yang suka pergi bazar raya, Publika, KLCC, di situ kita boleh tengok perbezaan, dari segi harga, jenis fabrik dan rupa keseluruhan baju raya itu. 

“Contoh bajet dalam RM300, jadi boleh bandingkan dengan harga itu kualiti dan rekaan seperti mana yang boleh kita dapatkan.

“Selalunya, orang tak pakai banyak lapisan, jadi orang akan pilih rekaan yang lightweight (ringan dan selesa) untuk dipakai. Walaupun tak semua suka rekaan yang ringkas, tetapi semua orang suka rekaan yang lightweight, walaupun mungkin ada yang memilih rekaan lightweight dengan perincian yang banyak,” katanya.

Fesyen busana raya yang digayakan wanita Islam di Malaysia kini lebih sopan dengan potongan longgar. (FOTO HIASAN)

Dalam pada itu Fyrose berkata, kebanyakan wanita di Malaysia kini sudah memilih untuk mengenakan pakaian yang lebih sopan berbanding zaman dahulu dengan potongan yang longgar.

Katanya, kebanyakan wanita Islam Malaysia juga lebih munutup aurat kini dan pemakaian tudung juga semakin mendapat tempat di hati wanita Islam di negara ini. 

Malah katanya, wanita Islam kini juga lebih berfesyen dan mempunyai ilmu untuk berfesyen dari aspek pemilihan fesyen sesuai hasil dan tidak bosan, hasil daripada pendedahan yang diterima melalui media sosial.

“Ramai yang pandai mix and match baju raya mereka supaya lebih sesuai dengan situasi. Macam kalau bertudung ataupun kenakan pakaian yang Muslimah, tetapi masih boleh buat pelbagai style walaupun tak ramai yang berani untuk cuba.

“Macam sebelum ini Muslimah selalu pakai baju-T labuh sampai lutut dengan seluar ataupun skirt potongan A, tetapi sekarang sudah banyak mereka mix and match, supaya nampak moden tapi dalam masa yang sama sopan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -