Peniaga lega selepas negara beralih fasa endemik

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TUMPAT:
Pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu turut dirasai peniaga di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor apabila semakin ramai dikunjungi pelancong.

Ketika tinjauan semalam kawasan itu dikunjungi pelanggan bertali arus termasuk dari luar Kelantan untuk membeli pelbagai barangan.

- Advertisement -

Seorang peniaga Athiah Yusoff, 42 berkata, sejak peralihan ke fasa endemik Covid-19 sekarang perniagaannya semakin mendapat sambutan.

Kata beliau kedainya dikunjungi pelanggan tidak putus-putus untuk membeli-belah setelah zon bebas cukai itu lenggang ekoran penularan wabak sebelum ini.

“Syukur dan Alhamdulillah dengan fasa endemik sekarang dapat membantu merancakan semula perniagaan.

“Saya syukur selepas negara beralih ke fasa endemik semakin ramai pengunjung datang membeli-belah. Mereka datang selepas kebenaran rentas sempadan dibenarkan,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang memiliki kedai kuali, periuk dan kelengkapan dapur menjalankan perniagaan di situ sejak lebih 10 tahun.

Bagaimanapun katanya, peniaga sekarang berdepan kenaikan harga barangan memandangkan sempadan Thailand masih belum dibuka lagi.

“Sekarang kami terpaksa mendapat bekalan barangan dari Rantau Panjang, kalau sebelum ini kita ambil barang di belah sini dekat sikit jadi kos tidak mahal,” katanya.

Seorang peniaga pakaian, Wan Nur Asyikin Wan Rosli, 29, berkata beliau turut rasa lega apabila urus niaga kini kembali rancak selepas melalui pelbagai fasa endemik.

“Tambah pula tidak lama lagi kita semua akan meraikan hari raya dan selalunya pengunjung ramai datang membeli bela dalam tempoh seminggu menjelang raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -