Rahsia adalah amanah, wajib dijaga

- Advertisement -

DALAM kitab Waqafat Ma’a Syahri Al-Shiyam karya Dr. Sulaiman bin Abdullah bin Hamud Aba Al-Khail menyatakan bahawa puasa mengajar umat Islam erti menunaikan amanah sekalipun keletihan dan ada jalan untuk makan tetapi tetap berpuasa kerana sentiasa merasai bahawa Allah melihat. Begitulah juga dalam menunaikan amanah, walaupun agak berat, tetapi mesti dilaksanakan dengan mengharapkan ganjaran daripada Allah S.W.T:

- Advertisement -

الصيام تدريب وتمرين للمرء المسلم على تحمل المسئولية، وهو مظهر من مظاهر الأمانة، فالمرء يتحمل صيامه أمام الله تعالى وهو مسئول عن ذلك، مؤتمن عليه فأنت ترى الصائمين قبيل المغرب وقد دب إلى أجسامهم الضعف والإجهاد من أثر الصيام، ومع ذلك فهم متحملون لهذا التعب محافظون على صيامهم فهو أمانة بينهم وبين ربهم، فباستطاعتهم الأكل أو الشرب دون أن يراهم أحد، لكنهم علموا أن ربهم مطلع على سرهم ونجواهم فحافظوا على ذلك ابتغاء مرضاته.

“Puasa adalah latihan bagi seseorang Muslim untuk memikul tanggungjawab dan ia adalah manifestasi kejujuran seseorang. Seseorang itu menanggung puasanya di hadapan Allah Taala dan dia dipersoalkan untuk itu kerana diamanahkan kepadanya. Kamu lihat orang-orang yang berpuasa sebelum matahari terbenam, badan mereka sudah menjadi lemah dan letih akibat puasa, tetapi mereka menanggung keletihan itu serta menjaganya kerana ia adalah amanah antara mereka dengan Tuhan mereka. Mereka boleh sahaja jika ingin makan atau minum tanpa sesiapa melihat mereka, tetapi mereka tahu bahawa Tuhan mereka mengetahui setiap rahsia dan gerak geri mereka, maka mereka tetap memeliharanya demi mencari keredhaan Allah”.

Amanah yang perlu dilunaskan oleh seseorang itu merangkumi banyak aspek kehidupan, bermula sudut keperibadian diri, rumahtangga, jiran, pekerjaan sehingga urusan yang membabitkan kepemimpinan dan kenegaraan. Orang yang bersifat amanah atau Al-Amin tidak sekali-kali menggunakan kedudukan dan pangkat demi mencapai kekayaan dan kemewahan peribadi apatah lagi untuk merampas dan mengambil sesuatu yang bukan hak mereka. Al-Amin ini sangat perlu diramaikan dalam masyarakat umat Islam pada hari ini bagi membentuk sebuah masyarakat dan kepimpinan negara yang diredhai Allah.

Menyimpan kerahsiaan juga termasuk dalam tuntutan amanah. Membongkarkan rahsia yang telah disepakati adalah suatu jenayah dalam masyarakat dan hukumnya adalah berdosa. Dokumen sulit pejabat, tidak boleh didedahkan di luar begitu juga rahsia yang diamanahkan oleh seseorang tidak boleh diviralkan. Begitulah halnya dengan rahsia rumahtangga, tidak boleh diceritakan kepada orang lain. Sebagaimana kita boleh meneruskan puasa dan takut untuk berbuka, begitulah juga kita menjaga amanah, dilaksanakan dalam apa jua kondisi kerana Allah S.W.T sentiasa mengawasi dan melihat kita.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 11/4/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!