Ramadan: Peluang untuk hidupkan kempen BMF

- Advertisement -

RAMADAN ditunggu-tunggu oleh umat Islam setiap tahun kerana di dalamnya terdapat ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Bulan tersebut juga membuka pintu rezeki kepada ramai kerana terdapat peluang-peluang untuk menambah pendapatan atau sebagai punca pendapatan utama rakyat. Sama ada menjual kuih raya, menjual juadah berbuka puasa, menjual baju raya, menjahit pakaian, menjual kelengkapan rumah dan seribu satu perniagaan lain merupakan rahmat untuk ramai. Di bulan ini juga merupakan satu peluang bagi kita untuk mengingatkan kembali kepada kempen Buy Muslim First (BMF) yang seolah-olah telah dikuburkan tanpa batu nisan. Kempen ini yang bermula dengan gah tetapi telah dilupakan setelah tumbangnya kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan. Ketika umat Islam sibuk membeli-belah, kempen BMF ini perlu dihidupkan semula dan dipertingkatkan.

- Advertisement -

Ramadan merupakan masa terbaik untuk memasarkan apa-apa produk Muslim. Ketika bulan yang mulia ini, umat Islam akan berpusu-pusu ke masjid dan surau. Pada sebelah malam sudah tentu ramai yang memenuhkannya untuk mengerjakan solat sunat Tarawih. Malah untuk solat-solat fardhu yang lain juga melihat bilangan jemaah meningkat. Jika pada bulan-bulan biasa mungkin ada yang tidak sempat solat Subuh berjemaah kerana terlewat bangun tetapi pada bulan Ramadan, umat Islam bangun awal untuk bersahur justeru tidak ada alasan untuk tidak solat Subuh berjemaah bersama ahli-ahli kariah yang lain. Sementara pada waktu tengah hari, mereka tidak lagi sibuk dengan makan tengah hari kerana berpuasa. Ramai yang akan menunggu waktu Zuhur di masjid dan surau.

Dengan jemaah yang berkumpul begitu ramai, kesempatan ini adalah satu peluang untuk memperkenalkan atau memasarkan produk. Di antara masalah utama produk-produk tersebut adalah capaian. Majoriti produk tersebut tidak dapat menembusi pasaraya-pasaraya atau mendapat tempat di kompleks-kompleks membeli-belah. Mungkin ini disebabkan oleh saingan dari produk-produk lain atau sewa yang mahal. Akibatnya produk-produk itu tidak mendapat pendedahan kepada masyarakat umum dengan meluas. Tidak banyak kedai-kedai di lokasi yang strategik yang menjual produk Muslim.

Tetapi pada bulan Ramadan, bukan sahaja umat Islam yang bertumpu ke masjid dan surau berupaya menjadi sasaran malah terdapat kesedaran dan semangat yang berbeza pada bulan tersebut. Umat Islam menjadi lebih hampir kepada Allah S.W.T apabila amal ibadat dipertingkatkan. Mereka mengejar ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T. Mereka tidak hanya memikirkan mengenai kehidupan di dunia tetapi nasib mereka selepas meninggalkan alam yang fana. Kesedaran terhadap agama meningkat. Mereka bukan sahaja memikirkan mengenai nasib umat Islam di negara ini tetapi di seluruh dunia. Tazkirah-tazkirah yang disampaikan boleh membangkitkan semangat setiakawan di kalangan ummah.

Kesedaran yang timbul ketika bulan Ramadan ini amat penting untuk menghidupkan semula kempen BMF ini. Semangat setiakawan di kalangan umat Islam ini akan mendorong mereka untuk saling bantu-membantu dengan memilih produk-produk Muslim. Ketika itu mereka tidak lagi dikaburi oleh iklan-iklan yang menarik atau jenama-jenama yang menjadi sebutan ramai. Ketika itu matlamat utama adalah untuk memastikan saudara seagama mereka dapat melangkah maju seperti orang lain. Mereka memahami tidak ada orang lain yang dapat membantu mereka kecuali diri mereka sendiri.

Kempen ini akan berjaya jika pengurusan setiap masjid dan surau berkongsi impian ini. Ada yang telah menyediakan ruang untuk ahli-ahli kariah berniaga sama ada secara tetap atau pada masa-masa yang tertentu. Kadang-kala susah bagi peniaga-peniaga Muslim untuk berniaga oleh kerana masalah sewa yang tinggi terutamanya di bandar-bandar besar. Di satu masa dahulu terdapat Aked Mara di pusat-pusat bandar yang menyediakan ruang perniagaan mampu milik untuk peniaga-peniaga Bumiputera. Tetapi bukan semua kawasan terdapat Aked Mara. Peranan ini boleh diambil alih oleh masjid dan surau yang bukan hanya tempat untuk menunaikan ibadah-ibadah seperti solat fardhu dan solat Jumaat. Tetapi juga tempat untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan umat Islam termasuk aktiviti ekonomi. Setiap masjid dan surau perlu direkabentuk untuk memenuhi fungsi-fungsi tersebut dari awal. Terdapat masjid dan surau yang sepuluh langkah ke hadapan dengan menubuhkan koperasi atau membuka pasar mini mereka sendiri.

Lebih 57 peratus penduduk negara ini adalah orang Melayu dan lebih 61 peratus penduduk negara ini beragama Islam. Jika kempen ini gagal untuk membantu perniagaan dan pengusaha Muslim maka kegagalan ini bukan kerana bilangan umat Islam yang sedikit. Kegagalan ini kemungkinan besar akibat kekurangan kesedaran. Kita tidak boleh salahkan masyarakat jika ini berlaku. Mungkin mereka yang sepatutnya memberi kesedaran kepada masyarakat tidak melaksanakan tanggungjawab mereka kerana disibukkan dengan urusan-urusan lain. Atau kempen ini sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -