Polis Malaysia-Thailand ketat kawalan sempadan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Thai Marine Police (TMP) bekerjasama bagi memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand untuk mengekang jenayah rentas sempadan.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, kerjasama itu dilakukan dengan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan rambang di sepanjang perairan kedua-dua negara terbabit.

- Advertisement -

“Pasukan polis sentiasa komited dalam usaha kesiapsiagaan kawalan di sempadan perairan negara bagi memastikan negara ini tidak dibolosi jenayah.

“Hubungan rapat antara PPM Wilayah Tiga bersama pasukan dari Thailand membolehkan perkongsian maklumat berkaitan aktiviti rentas sempadan dapat disalurkan lebih berkesan,” katanya pada kenyataan semalam.

Sebelum itu beliau mengadakan lawatan kerja rasmi di kawasan sempadan negara di sekitar Tumpat.

Hadir sama Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad dan Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Major Geneneral Waesamae Salaeh.

Kolaborasi rondaan bersama antara PPM Wilayah Tiga dan TMP turut melibatkan kerjasama pasukan Thai Border Patrol (TBP).

Shafien juga berkata, kemampuan aset PPM Wilayah Tiga digabungkan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memantapkan lagi pengawalan keselamatan di sempadan.

“Ini juga sekaligus dapat menjamin keselamatan perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia daripada aktiviti yang boleh menjejaskan ekonomi negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2022