Persatuan hotel sokong usaha Kelantan pertahan beca

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Persatuan Hotel Malaysia Kelantan (MAH) menyambut baik usaha kerajaan negeri menggalakkan golongan belia berjinak dengan kerjaya sebagai penarik beca.

Malah langkah itu juga disokong Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan (3PK) bagi memastikan kenderaan warisan tersebut dipertahankan.

Setiausaha Kehormat MAH, Mohammad Azrin Zainal Abidin berkata, beca merupakan sebahagian produk pelancongan di Kelantan yang sering dimanfaatkan pengusaha hotel.

- Advertisement -

Kata beliau sekiranya tiada usaha dilakukan kerajaan dipercayai kenderaan tradisional tersebut akan pupus apabila pengayuh beca yang ada sekarang meninggal dunia.

“Saya menyokong usaha kerajaan Kelantan yang berharap anak-anak muda terutamanya penganggur berjinak-jinak sebagai penarik beca.

“Selain mencari rezeki, apa yang lebih penting mengekalkan kenderaan tradisi yang kini semakin berkurangan sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman berharap golongan muda berjinak dengan kerjaya penarik beca bagi meneruskan kelangsungan kenderaan tradisional tersebut.

Malah sejak beberapa tahun lepas kerajan negeri menaik taraf beca dengan dilengkapi motor menggunakan kuasa bateri bagi membantu penarik beca.

Mohammad Azrin juga berkata, beliau pernah berjumpa dengan beberapa pengusaha beca untuk membawa pelancong mengeliling bandar Kota Bharu.

“MAH menyokong penuh hasrat kerajaan negeri bagi mempertahankan beca tradisional sebagai produk pelancongan di Kelantan,” ujarnya.

Setiausaha 3PK, Mohd Norisham Muhmmad Nawi pula berkata, pihaknya bersedia memberi kursus kepada penarik beca supaya mereka boleh memberi penerangan tempat-tempat menarik di sekitar Kota Bharu sambil membawa pelancong.

Sebagai contoh katanya, Muzium Perang Dunia Kedua menyimpan banyak sejarah ketika perang yang belum diketahui orang ramai. – HARAKAHDAILY 7/4/2022

- Advertisement -