Rusia beralih kepada China dapatkan cip mikro kad bank

- Advertisement -

SAINT PETERSBURG: Rusia beralih kepada pengeluar cip mikro di China berikutan sekatan Barat terhadap negara itu meningkatkan permintaan terhadap kad bank yang menggunakan sistem pembayaran Mir.

Sekatan Barat terhadap Rusia kerana menceroboh Ukraine menyebabkan Moscow terasing dari sistem kewangan global dan hampir separuh daripada AS$640 bilion dalam bentuk emas dan rizab pertukaran asing.

- Advertisement -

Ahli Lembaga Pengarah Sistem Pembayaran Kad Nasional (NSPK) Rusia, Oleg Tishakov, berkata negara itu menghadapi kekurangan cip mikro kerana pengeluar Asia menggantung pengeluaran ketika pandemik Covid-19, manakala pembekal Eropah berhenti bekerjasama dengan Moscow berikutan sekatan Barat.

“Kami sedang mencari pembekal mikrocip baharu dan telah menemui beberapa syarikat di China, dengan proses pensijilan sedang berjalan,” kata Tishakov.

Beberapa bank terbesar di Rusia tidak lagi mempunyai akses kepada sistem mesej perbankan global SWIFT, manakala syarikat kad pembayaran antarabangsa Visa dan MasterCard, menghentikan perkhidmatan akaun Rusia di luar negara. Selain itu, sambungan Mir ke Apple Pay telah dikeluarkan bulan lalu.

Mengikut pengiraan Reuters berdasarkan data sistem, NSPK mengeluarkan lebih dua juta kad Mir antara akhir tahun lalu hingga Mac tahun ini, manakala jumlah kad tertunggak kini adalah sebanyak 116 juta.

Semua bank utama Rusia mencatatkan peningkatan permintaan untuk kad domestik, yang kini dikeluarkan oleh sesetengah pihak menggunakan jenama bersama China UnionPay, iaitu sistem pembayaran alternatif kepada Visa dan MasterCard untuk pembelian yang dilakukan oleh warga Rusia di luar negara.

Kad Mir diterima oleh beberapa bank di Turki, Vietnam, Armenia, Uzbekistan, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan wilayah pemisah Georgia di Ossetia Selatan dan Abkhazia. – REUTERS

- Advertisement -