Derma darah baik dari aspek perubatan Islam

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menderma darah bukan sahaja mendatangkan kebaikan dari sudut perubatan sains, bahkan juga memberi manfaat dari aspek perubatan Islam.

Perawat Perubatan Islam Darus Syifa’ Bukit Beruntung, Yusnita Masril berkata, amalan menderma darah dapat memupuk sikap kasih sayang semasa manusia.

Katanya, sifat itu dapat mencegah daripada penyakit hati seperti rasa iri hati, dengki, buruk sangka. Malah, dengan amalan tersebut ramai penerima darah akan mendoakan kebaikan buat penderma darah.

“Dari sudut perubatan Islam, (boleh) kurangkan gangguan saka, qarin pada diri kita, sebab syaitan itu dia melalui peredaran darah, jadi apabila kita menderma darah, darah akan bersih semula.

“Jadi, apabila darah bersih, musuh kita itu peluang untuk ganggu kita kurang, saya nampak satunya yang itu. Sebab apabila kita menderma, automatik badan kita akan membina darah baru, darah yang lebih sihat,” katanya semasa ditemui Harakahdaily, di Pusat Darah Negara, selepas selesai menderma darah di sini, hari ini.

Menurut Yusnita, tabung darah negara sangat memerlukan darah sejak daripada pandemik Covid-19, bahkan beg darah sentiasa berada di bawah paras mencukupi.

Justeru, dia mengajak para wanita, terutamanya muslimat yang sihat, dan tidak merancang untuk hamil lagi untuk bersama-sama menderma darah.

“Kita seru menderma bagi membantu (mereka) yang memerlukan, sebab setiap beg darah yang kita derma akan menolong tiga nyawa.

“Terutamanya di musim perayaan ini, banyak berlaku kemalangan yang tidak diingini. Bagaimanapun, kita harap semua berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.

Yusnita yang juga Tenaga Pengajar di Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) berkata, walaupun Ramadan sudah tiba, umat Islam masih boleh menderma darah pada waktu pagi selepas bersahur dan selepas berbuka.

Katanya, amalan itu sesuai dilakukan sehingga usia wanita mencapai 60 tahun dan haruslah dalam keadaan sihat dan kuat.

Yusnita juga menderma darah secara berterusan setiap tiga bulan sejak 2009 selepas selesai melahirkan anak kelimanya yang kini berusia 17 tahun.

Katanya, hari ini merupakan kali ke-43 dia menderma darah dan amalan itu memberikan rasa tenang dan seronok setelah kerap dilakukan.

Malah katanya, apabila lama tidak menderma darah, Yusnita merasakan berat dan bersalah jika tidak berbuat demikian.

“Seruan saya pada muslimat yang sihat, dermalah darah, sebab amat dipemerlukan. Pertamanya, satu kita dapat menolong diri sendiri untuk elak penyakit kronik, keduanya kita dapat menolong semasa insan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 1/4/2022

- Advertisement -