Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto ASRI HAZIM
KOTA BHARU: Pengusaha hotel bajet dan inap desa di Kelantan digalak memohon untuk mendapatkan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikian Hotel Bajet dan Inap Desa yang disediakan kerajaan.
Geran peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2022 tersebut merupakan salah satu langkah kerajaan untuk memulih semula industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.
Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Kelantan, Mohd. Aidil Afizie Daud berkata, setakat ini sebanyak 224 hotel bajet dan 45 inap desa berdaftar di bawah Motac.
Katanya hotel dan inap desa tersebut dikenal pasti masih aktif dan beroperasi sehingga sekarang.
“Pengusaha yang terkesan boleh mendapatkan dana sehingga sebanyak RM15,000 bagi tujuan pemulihan dan penambahbaikan penginapan. Manakala pengusaha hotel bajet pula sehingga RM30,000.
“Kami mengalu-alukan pengusaha yang terkesan semasa pandemik Covid-19 memohon geran tersebut bermula 1 hingga 30 April ini” katanya pada program Jerayawara Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikian Inap Desa dan Hotel Bajet, di sebuah hotel di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Industri Motac, Zulhelmi Zakaria, Pengerusi Inap Desa Kelantan, Fadhilah Hanim Ramli dan Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Kelantan, Mohd. Asri Husin.
Pada masa yang sama Aidil memberitahu, Motac Kelantan turut membuat persiapan bagi menerima pelancong luar negara apabila sempadan negara dibuka 1 April ini. – HARAKAHDAILY 28/3/2022