Kos buruh Indonesia diumum selepas MoU ditandatangani April

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PENDANG:
Kos baharu berkaitan pengambilan pekerja dari Indonesia akan dimaklumkan selepas Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani April ini memandangkan kos lama berdasarkan MoU pada 2016 sudah tamat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kos RM7,800 yang dimaklumkan sebelum ini berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama ke sembilan pada September 2013 seperti terkandung dalam MoU yang tamat pada 2016.

- Advertisement -

“Jadi struktur kos pengambilan domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU ditandatangani,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak Hospital Pendang, dekat sini semalam.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kos disebabkan beberapa faktor dan kerajaan akan menyemak semula dari semasa ke semasa.

Sementara itu Awang berkata, Hospital Pendang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini, di mana sekarang pembinaannya sudah mencapai 95 peratus.

“Insya-Allah pada penghujung tahun ini Hospital Pendang akan siap dan boleh dimanfaatkan penduduk tempatan. Ia akan beroperasi selepas peralatan dan mesin perubatan dari luar negara siap dipasang,” ujarnya.

Hospital tersebut terletak di Kampung Banggol Pauh dibina pada 2018 dan terpaksa ditangguh kerja-kerja pembinaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 sebelum ini.

Turut hadir pada lawatan tersebut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ibrahim Ahmad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo. – HARAKAHDAILY 28/3/2022

- Advertisement -