Pelan Pemulihan Negara 1.0 percepat kemajuan ekonomi Malaysia

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara 1.0 yang dilancarkan pada Julai tahun lalu, menunjukkan kejayaan dengan semua negeri berjaya beralih ke Fasa 4 dan hampir semua sektor ekonomi kini beroperasi sepenuhnya.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata pembukaan pelbagai sektor ekonomi membolehkan perdagangan luar mencecah lebih RM2 trilion dengan nilai kemasukan bersih pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM50 bilion.

- Advertisement -

Katanya, ini turut menyumbangkan terhadap penguncupan kadar pengangguran kepada 4.2 peratus.

“Melalui Pelan Pemulihan Negara 1.0, hampir 98 peratus orang dewasa di negara ini divaksinasi dengan menerima dua kali suntikan vaksin lengkap. Kejayaan ini dicapai dengan keberkesanan dalam memberi perlindungan daripada jangkitan lebih teruk melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Pencapaian utama lain ialah kejayaan Program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi. Program rintis ini dilaksanakan selama tiga bulan mulai 15 November tahun lalu. Hasil kejayaan program ini, ia akan terus dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka sepenuhnya,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Senator Dato’ Ahmad Yahaya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, mengenai status terkini pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dalam mendepani fasa endemik serta pada masa sama, berhadapan penularan varian Omicron dalam negara ketika ini.

Mohd Shahar berkata, bagi pakej Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi kelapan yang diumumkan pada 28 Jun tahun lalu, sejumlah RM111.37 bilion telah disalurkan setakat 31 Disember 2021.

Dari segi pecahan inisiatif utama yang disalurkan, katanya RM80 bilion diperuntukkan bagi Program Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman dan Moratorium, RM4.6 bilion disalurkan bagi Program Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang memanfaatkan 9,950,000 penerima dan RM2.15 bilion disalurkan bagi Lanjutan Program Subsidi Upah 4.0.

Selain itu, katanya, Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN) sedang merangka Pelan Pemulihan Negara 2.0 secara lebih komprehensif dan inklusif bagi memastikan pemulihan seterusnya yang lebih bersifat menyeluruh. – HARAKAHDAILY 28/3/22

- Advertisement -