Kempen tiada beg plastik di 63 bazar Ramadan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik fasa kedua di Terengganu akan dimulakan dalam tempoh terdekat meliputi hampir 63 buah bazar Ramadan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia disertai dengan penglibatan lebih daripada 5,342 peniaga bazar Ramadan.

Beliau berharap semua pihak sama ada di peringkat jabatan kerajaan, agensi swasta, pemilik premis perniagaan dan semua lapisan masyarat perlu bergandingan bahu menyokong usaha murni kerajaan dalam meminimumkan penggunaan plastik sekali gus mengurangkan risiko pencemaran kepada alam sekitar.

- Advertisement -

Menurutnya, fasa kedua kempen yang bermula pada tahun 2022 sehingga tahun 2025 akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mendapat kelulusan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-76 (MNKT Ke-76) pada 18 November 2020 bagi pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan.

“Secara dasarnya, pelaksanaan kempen ini diserahkan kepada kerajaan negeri dengan mengguna pakai kaedah pelaksanaan kempen mengikut kesesuaian negeri masing-masing,” ujarnya ketika berucap merasmikan kempen tersebut Peringkat Negeri Terengganu 2022 di sini, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan kempen itu adalah kesinambungan daripada Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna Tahun 2018-2030 yang dikeluarkan oleh pihak KASA.

Menurutnya lagi, pelaksanaan program berbentuk kempen itu merangkumi dua fasa iaitu fasa pertama bermula 2018 sehingga 2021 yang mana telah dilaksanakan pada hari Jumaat dan Sabtu di beberapa premis kekal seperti pasar raya hyper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian serta farmasi di seluruh Terengganu.

“Semua premis yang terlibat dalam pelaksanan kempen ini perlu menyediakan alternatif lain seperti menggantikan pengunaan beg plastik dengan beg yang boleh berulang kali digunakan seperti woven bag, mengamalkan no straw by default iaitu hanya memberikan penyedut minuman berdasarkan permintaan, memberikan penyedut minuman yang lebih mesra alam atau masing-masing membawa straw,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -