SOP tidak dibenar sentuhan fizikal kekal

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH

ARAU:
Semua jemaah termasuk kanak-kanak dibenarkan hadir menunaikan solat dan menyertai aktiviti di masjid dan surau seluruh Perlis tanpa terikat dengan status vaksinasi bermula 1 April ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullil bertitah jemaah juga dibenarkan merapatkan saf tanpa penjarakan fizikal.

Menurut baginda keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan semasa penularan Covid-19 dalam negeri dan fasa peralihan seperti diumumkan kerajaan.

- Advertisement -

Bagaimanapun Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
bertitah, pegawai bertugas dan jemaah kekal dilarang hadir ke masjid sekiranya termasuk bagi golongan berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan pesakit dalam pematuhan (PUS).

“Begitu juga mereka yang memiliki risiko dijangkiti dan mempunyai gejala demam, sesak pernafasan, sakit tekak dan selesema.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan hendaklah dipatuhi ketika mendengar kuliah dan sepanjang tempoh berada di masjid,” titah baginda.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah semua aktiviti pengimarahan termasuk kuliah, ceramah dan jamuan juga dibenarkan dengan pematuhan SOP.

Antara SOP yang dikekalkan melaksana penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera atau mendaftar di buku dan tidak dibenarkan sebarang sentuhan fizikal seperti bersalaman.

“Fasa endemik merupakan satu permulaan baharu kepada semua pihak untuk menempuh normalisasi pasca penularan Covid-19.

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan, serta dijauhkan daripada mara dan bahaya,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -