Bot nelayan sewa karam dalam ribut di New Zealand: 4 maut, 1 hilang

Sebuah bot nelayan sewa (kanan) yang dikendalikan Enchanter Fishing Charters, di Dermaga Mangonui di Mangonui, New Zealand pada Isnin, 21 Mac 2022. (FOTO AP)
- Advertisement -

WELLINGTON, New Zealand: Sebuah bot nelayan sewa yang membawa 10 orang karam dalam cuaca ribut di luar pantai New Zealand, dengan empat orang disahkan maut, seorang lagi hilang, sementara lima yang lain telah diselamatkan dan diterbangkan dari lokasi kejadian oleh sebuah helikopter.

Pihak berkuasa dalam kenyataannya pada Isnin (21 Mac) berkata, pencarian mangsa yang hilang itu masih  diteruskan

- Advertisement -

“Bot sepanjang 17 meter (56 kaki) itu mengalami masalah dan melancarkan isyarat kecemasan pada malam Ahad (20 Mac)  di North Cape di pantai utara, mencetuskan operasi mencari dan menyelamat yang besar.

“Dua mayat ditemui di dalam air ditemui oleh helikopter pada pagi Isnin, dan dua lagi ditemui oleh kapal pengesan.

“Lima orang yang diselamatkan telah dimasukkan ke Hospital Kaitaia dalam keadaan stabil dan kemudiannya dibenarkan keluar hospital,” ujar kenyataan tersebut.

Jurucakap Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim New Zealand, Nuck Burt  berkata, berkata suar kecemasan telah diaktifkan pada jam 8 malam. 

“Sebuah helikopter ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat pertama yang sampai ke lokasi terpencil pada 11:40 malam.

“Bot berkenaaan disahkan karam pada jam 2.30 pagi. Pencarian Isnin ini diselaraskan oleh bot peronda tentera laut dengan helikopter di udara dan kru darat menyelusuri pantai,” jelas Burt.

Menurutnya lagi, keadaan cuaca lebih baik pada Isnin membolehkan pihaknya menumpukan sepenuhnya pada usaha mencari dan menyelamat mangsa  yang tidak dapat dikesan.

Sementara menurut laporan laman web Stuff, bot nelayan malang  itu telah meninggalkan pelabuhan utara Mangonui pada Khamis (17 Mac).

“Berada di atas kapal itu ialah kapten, seorang anak kapal dan lapan penumpang dari Auckland yang merupakan bandar paling ramai penduduk di New Zealand. 

“Kapten itu adalah antara yang terselamat. Tiada orang lain yang dikenal pasti,” ujar laporan laman web berkenaan. – AP

- Advertisement -