Nelayan asing dikesan ceroboh perairan Kuala Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Sebuah bot nelayan asing dikesan menjalankan aktiviti perikanan menggunakan sembilan set bubu naga pada kedudukan 1.2 batu nautika barat Pulau Ketam, Kuala Perlis jam 8.40 pagi semalam.

Ia melibatkan seorang tekong dan seorang kru warga Thailand, berusia 25 dan 38 tahun.

- Advertisement -

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut berasal dari Thailand dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dilakukan cubaan menangkap ikan di perairan Malaysia serta memasuki sempadan negara tanpa dokumen sah,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Manakala dua lagi bot pula dikesan menangguk siput serta pada kedudukan kira-kira 0.60 hingga 0.70 batu nautika barat pantai Kuala Perlis.

Menurutnya dua bot jenis fiber dan sebuah bot kayu tersebut berjaya ditahan Maritim Malaysia berikutan penemuan pancang-pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan Kuala Perlis.

Kata beliau nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga bot, enjin, bubu naga, sangkar besi dan siput retak seribu serta ikan campur dianggar bernilai RM20,120.

Sejak Januari sehingga sekarang Zon Maritim Kuala Perlis menahan lapan bot bagi kesalahan menangkap siput membabitkan 14 warga tempatan serta menahan sebuah bot nelayan melibatkan dua warga Thailand dan merampas 20 unit bubu naga. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -