Malaysia hab pelaburan strategik global impak tinggi

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Projek pelaburan kilang ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd berjumlah RM910 juta sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan strategik global dengan menjana pelaburan berimpak tinggi.

Malah ia juga bertujuan meningkatkan integrasi industri tempatan dan rantaian bekalan di peringkat serantau dan global selain sebahagian untuk menyokong agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali berkata, ia juga selari manifestasi usaha kerajaan mengarusperdanakan strategi memajukan teknologi hijau dan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

- Advertisement -

Katanya, usaha itu juga sekaligus menjayakan aspirasi kerajaan untuk menjadi negara karbon sifar bersih, seperti yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Usaha ini juga sejajar dengan iltizam kerajaan yang terus komited menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

“Seperti yang digariskan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, iltizam ini akan diteruskan bagi meningkatkan keterangkuman dalam usaha untuk menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi setempat dan meningkatkan kemakmuran negara.

“Selain itu, kilang ini juga mengeluarkan Transistor Garis Lebar (Wide Line Transistor) dan Pemacu Litar Bersepadu (Gate Driver Integrated Circuit) sebagai produk komponen kenderaan elektrik yang akan menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pembangunan mobiliti karbon rendah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn.Bhd yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Azmin juga berkata, laporan Bank Negara menunjukan ekonomi Malaysia kini berada di landasan yang tepat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 3.1 peratus pada tahun 2021.

“Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk berkembang sebanyak 5.8 peratus tahun ini, terkini nilai pelaburan diluluskan bagi tahun 2021 mencecah RM306.5 bilion. Ini merupakan nilai pelaburan diluluskan yang tertinggi pernah direkodkan bagi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2022

- Advertisement -