MITI cadang dos penggalak Covid-19 dua juta pekerja

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan nasihat tentang ketetapan kesihatan yang perlu dipatuhi memandangkan sempadan negara bakal dibuka menjelang April ini.

Menterinya Dato’ Seri Mohamad Azmi Ali berkata, kebenaran pembukaan semula sempadan itu merupakan satu keputusan besar yang diambil kerajaan selain melihat pertumbuhan ekonomi lebih rancak dalam masa yang sama perlu mengawal penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

“Pembukaan semula sempadan negara merupakan keputusan besar yang dilakukan kerajaan dan ia dinantikan oleh masyarakat.

“Dengan kebenaran itu ia dapat merancakan pertumbuhan ekonomi negara, namun dalam waktu yang sama kita juga perlu mengawal penularan wabak Covid-19 bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn.Bhd yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memaklumkan, pekerja sektor perkilangan dan pembuatan merupakan antara tulang belakang kemajuan ekonomi negara khususnya bagi membantu kerajaan.

Justeru itu katanya, MITI bersama KKM berbincang untuk mewujudkan program vaksinasi pemberian dos penggalak Covid-19 kepada hampir dua juta pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan dan ia sekaligus dapat memberi situasi lebih selamat apabila sempadan negara dibuka.

Bagaimanapun katanya, usaha itu selari bagi menyokong inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan rakyat lebih selamat dalam berdepan dengan penularan wabak Covid-19. – HARAKAHDAILY 12/3/2022

- Advertisement -