Johor benteng utama sekat kepimpinan kleptokrat, politik lama

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Rakyat Johor digesa menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai permulaan kepada pembentukan sebuah kerajaan berasaskan nilai integriti dan prihatin rakyat seperti yang ditawarkan Perikatan Nasional.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Johor mempunyai peranan menjadi benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat dan politik lama yang berasaskan rasuah dan penyelewengan.

“Tidak kira apa pun, kita mesti hentikan kemaraan semula golongan kleptokrat dan politik lama yang berasaskan rasuah dan salah guna kuasa.

“Besar ertinya nilai integriti kepada kita semua. Tanpa integriti negara kita rosak, masyarakat kita rosak,” katanya semasa berucap pada Majlis Ikrar Calon Perikatan Nasional, di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, Perikatan Nasional berhasrat untuk membina negara dan masyarakat atas nilai yang murni.

Katanya, parti itu ingin mendidik masyarakat dan generasi akan datang mengenai kepentingan kepimpinan yang berasaskan nilai yang murni.

“Hanya dengan amalan nilai yang murni kita dapat lahirkan kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

“Apabila pemimpin berintegriti, maka wujudlah masyarakat dan negara yang makmur, sejahtera dan sentosa,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

- Advertisement -