Rumah PPRT Pasir Gogok tidak mesra keluarga

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PENGERANG:
Pelan pembangunan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pasir Gogok di sini perlu dilihat semula dan ditambah baik sesuai dengan keperluan penduduk.

Calon Perikatan Nasional, Cikgu Selamat Ujud, berkata tinjauannya ke lokasi berkenaan mendapati pelan rumah berkenaan yang dibina lebih 20 tahun lalu tidak mesra keluarga.

Katanya, binaan di bahagian dalam rumah berkenaan tidak mempunyai sebarang pembahagian atau partition untuk ruang ramai dan sebagainya.

- Advertisement -

“Kalau mereka yang tinggal di situ sebatang kara, mungkin boleh. Tapi kalau keluarganya ada suami, isteri, dan anak, mungkin juga okey.

“Tapi kalau ada anak, ada cucu, lelaki, perempuan, di situ atuk, nenek, cucu, mak, bapa, anak, jadi memang tidak sesuai.

“Harus diambil perhatian oleh pihak kerajaan, tidak kiralah kerajaan mana yang memerintah, tetapi kita harap kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di Bilik Gerakan Perikatan Nasional PDM Bukit Tunggal di Felda Tunggal, kelmarin.

Menurut Cikgu Selamat, berdasarkan tinjauannya, beliau juga mendapati binaan kediaman di lokasi berkenaan juga dimakan anai-anak serta dibimbangi meruntuhkan struktur kediaman itu.

Katanya, situasi di kediaman berkenaan menggambarkan layanan yang diberikan kerajaan terhadap rakyat miskin tegar lebih teruk daripada pekerja asing yang bekerja di negara ini.

“Maknanya, saya nampak di situ ialah kita (kerajaan) menempatkan warga kita yang kesusahan ini (teruk), berbanding dengan warga asing yang kita tempatkan, dari segi yang pendatang haram tu, saya rasa kita perlu perbaikilah.

“Cara mereka melayan orang miskin tegar, ini bukan miskin main-main. Saya mengkaji macam mana mereka mendapat bantuan dan makanan, 100 peratus mengharapkan bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), atau e-Kasih, yang mana di situ ada bantuan mengambil makanan sebulan sekali, RM80.

“Nanti bulan depan RM80 lagi, kita ada suami, dengan lauk, agaknya kalau beli ikan seekor, bolehlah agaknya, kongsi berdua,” katanya yang bertanding di DUN Tanjung Surat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, beliau berhadapan dengan calon Pejuang, Samat Atan, Aznan Tamin (BN) dan Rosman Tahir (PKR).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

- Advertisement -