Kerajaan sedia RM8 juta hadapi banjir tahun ini

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM8 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghadapi banjir tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM4.5 juta telah disalurkan ke seluruh negara setakat ini.

- Advertisement -

“RM500,000 juga telah disalurkan kepada Terengganu menerusi JKM negeri bagi membantu pengurusan banjir kali ini.

“Peruntukan bantuan bencana ini merangkumi pengurusan banjir, pengurusan PPS, penyediaan depo bencana dan sebagainya.

“Saya juga berpuas hati dengan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam proses penyediaan PPS di sini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika sidang media ketika meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengarah JKM negeri, Mazura Ngah.

Selain negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak turut menerima jumlah peruntukan yang sama.

Manakala, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur menerima RM100,000.

Sebanyak RM30,000 pula disalurkan kepada Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Negeri Melaka menerima RM150,000 dan RM50,000 lagi disalurkan kepada Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

Sumber Asal: https://www.trdi.my/kerajaan-sedia-rm8-juta-hadapi-banjir-tahun-ini

- Advertisement -