RM10 juta diperlu atasi pintu kawalan air rosak

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Peruntukan sebanyak RM10 juta diperlukan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak untuk membaik pulih Pintu Kawalan Air Pasang Surut yang rosak di Kampung Gong Kulim sejak 2019.

Pengarahnya Rohani Jusoh berkata, tujuh daripada 10 pintu gate terbabit tidak berfungsi menyebabkan ia tidak dapat mengalirkan air keluar ke laut apabila berlaku hujan lebat.

- Advertisement -

Katanya, pembaikian perlu dilakukan bagi mengurangkan ancaman banjir di Pasir Puteh dalam tempoh terdekat.

“Lebih buruk lagi keadaan apabila bertembung dengan keadaan ombak pasang besar seperti kelmarin menyebabkan air mengalir keluar sangat perlahan menerusi tiga pintu sahaja,” katanya di sini.

Hujan lebat yang berlaku baru-baru ini menjejaskan penanam tembikai di Pasir Puteh dan Bachok apabila tanaman mereka ditenggelami air.

Rohani berkata, peruntukan tersebut dimohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengatasi masalah tersebut.

Baru-baru ini viral di media sosial banjir yang berlaku di Pasir Puteh
disebabkan tujuh daripada 10 pintu air tidak berfungsi dengan baik di Kampung Gong Kulim.

Menurutnya juga sekiranya pintu yang rosak itu diangkat menggunakan jentera kren dibimbangi berlaku kerosakan lebih teruk lagi apabila berlaku paras air laut lebih tinggi daripada daratan.

Pintu air berkenaan dibina pada 1994 dan siap 1998 membabitkan kos RM40 juta. Ia merintangi Terusan Semerak bertujuan mengurang ancaman banjir yang sering dihadapi penduduk di Pasir Puteh. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -