150 anggota JAM, Khidmat Malaysia bantu mangsa banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kelantan menyertai misi menyelamat, mengagih bantuan dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di beberapa lokasi yang terjejas banjir di negeri itu.

Pengarahnya Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, JAM Kelantan membantu operasi Khidmat Malaysia bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Katanya sukarelawan JAM dan Khidmat Malaysia dengan kekuatan 150 petugas menggerakkan misi menyelamat menggunakan bot di lokasi yang terjejas banjir.

- Advertisement -

“Anggota JAM mengagih bantuan makanan dan operasi pembersihan. Selain itu mereka membantu projek Dapur Rakyat di pusat-pusat Operasi Banjir Amal,” katanya di sini.

Banjir melanda beberapa lokasi di Kelantan termasuk Rantau Panjang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai sejak Jumaat lepas ekoran hujan lebat.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga jam 1 petang hari ini masih terdapat seramai 8,151 mangsa banjir daripada 2,626 keluarga yang dipindahkan ke 35 pusat penempatan sementara.

Mohd Firdaus juga berkata, bantuan luar melalui JAM negeri-negeri turut disusun ke Kelantan yang dijangka tiba esok.

“Kumpulan besar pemuda membantu operasi banjir yang berlaku di beberapa tempat di Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya juga sukarelawan Pemuda PAS Kelantan turut membantu jentera Pilihanraya Dun Pulai Sebatang Johor yang diketuai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Mohamad Kamal Mohamad. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -